Lebih 30,000 sertai Himpunan Turun Anwar, Tun Mahathir turut hadir beri sokongan
Lebih 30,000 sertai Himpunan Turun Anwar, Tun Mahathir turut hadir beri sokongan
KUALA LUMPUR, – Lebih 30,000 orang membanjiri Dataran Merdeka petang tadi bagi menyertai Himpunan Turun Anwar yang digerakkan pelbagai parti politik pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam dari seluruh negara.
Perhimpunan yang berlangsung secara aman itu turut menyaksikan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencuri tumpuan apabila tampil bersama pemimpin pembangkang lain bagi menyatakan solidariti terhadap tuntutan rakyat.
Dr. Mahathir yang ditemani beberapa pemimpin politik veteran menyatakan kehadirannya sebagai simbol sokongan kepada suara rakyat yang kini didakwanya semakin terhimpit dengan kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
![]()
“Rakyat bukan lagi menunggu perubahan, rakyat sedang menuntut perubahan. Kerajaan hari ini gagal membawa pembaharuan yang dijanjikan, sebaliknya terus menghimpit rakyat dengan kos sara hidup tinggi, janji tidak ditepati dan salah guna kuasa,” katanya ringkas dalam ucapannya di atas pentas utama.
Peserta perhimpunan yang rata-rata memakai pakaian serba hitam mula memenuhi kawasan Dataran Merdeka seawal jam 1 tengah hari sambil membawa sepanduk dan plakad bertulis mesej mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.
Antara yang menyertai termasuk ahli Perikatan Nasional (PN), BERSATU dan PAS serta beberapa kumpulan mahasiswa dan belia.
![]()
Penganjur perhimpunan menyifatkan himpunan itu sebagai isyarat jelas rakyat menolak kepimpinan sedia ada dan menuntut pembentukan kerajaan baharu yang lebih prihatin terhadap nasib rakyat.
Keadaan terkawal dengan pemantauan rapi pihak polis sepanjang program, dan peserta mula bersurai secara aman. -SAHIH
