LEBIH 30 JUTA KES COVID DILAPORKAN
LEBIH 30 JUTA KES COVID DILAPORKAN
PARIS: Lebih 30 juta kes jangkitan COVID-19 dilaporkan secara rasmi di Eropah, menurut laporan AFP berdasarkan statistik kesihatan rasmi sehingga jam 8 pagi tadi.
52 negara di benua itu, termasuk Russia, adalah zon yang paling teruk terjejas di dunia dari segi jumlah jangkitan iaitu 30,003,905 kes.
Eropah diikuti oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, yang mencatat 23,994,507 kes, Amerika Latin dan Caribbean 16,989,628, Asia 14,485,588, Asia Barat 4,323,966, Afrika 3,170,837 dan Oceania 31,443, lapor AFP.
Negara paling teruk terjejas di Eropah adalah Russia dengan 3,520,531 kes dan 64,495 kematian, Britain dengan 3,260,258 jangkitan dan 86,015 kematian, Perancis (2,851,670 dan 69,313) Turki (2,364,801 dan 23,495), Itali (2,336,279 dan 80,848) dan Sepanyol (2,211,967 dan 53,079).
Eropah dan Amerika Utara adalah wilayah dengan jumlah kes harian tertinggi pada minggu lalu, masing-masing mencatatkan purata 260,000 kes baharu setiap hari.
Jumlah kes baharu di seluruh dunia adalah sekitar 730,000 sehari.
Di antara negara dengan jumlah kes yang meningkat drastik adalah Sepanyol yang mengalami lonjakan 168 peratus dalam tujuh hari lalu berbanding minggu sebelumnya, dengan 193,545 kes baharu, diikuti oleh Portugal meningkat 49 peratus menjadi 60,502 dan Belgium, meningkat sebanyak 29 peratus menjadi 14,587 kes.
Eropah pada 17 Disember lalu menjadi wilayah global pertama yang melepasi setengah juta kematian.
Hari ini, benua itu mencatatkan 646,022 kematian, diikuti Amerika Latin dan Caribbean dengan 542,243 dan AS serta Kanada iaitu sebanyak 406,049.
Secara keseluruhan, lebih 92 juta kes COVID-19 dicatatkan di seluruh dunia, termasuk hampir dua juta kematian, sejak pandemik itu bermula di China pada akhir 2019.
Sejak itu, jumlah ujian yang dilakukan juga meningkat sementara teknik ujian dan laporan bertambah baik hingga berlaku peningkatan kes.
Bagaimanapun, jumlah kes yang didiagnosis hanyalah sebahagian daripada jumlah jangkitan sebenar kerana sebilangan besar kes tidak serius atau tidak bergejala biasanya tidak dapat dikesan.