Lebih 2,000 penerima terima zakat Aidilfitri
Lebih 2,000 penerima terima zakat Aidilfitri
TEMERLOH – Lebih 2,000 golongan asnaf di seluruh negara menerima sumbangan zakat sempena Aidilfitri menerusi program Infaq dan Sumbangan Zakat Aidilfitri 2026 anjuran Prestasi Setia Unggul Group of Companies dengan kerjasama Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).
Pengarah Urusannya, Mohammad Arrief Mu’min berkata, program kebajikan itu dilaksanakan di beberapa negeri sepanjang Ramadan bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengarah Urusan Prestasi Setia Unggul Group of Companies
Mohammad Arrief Mu’min
Menurutnya, bagi program di Pahang, kira-kira 200 penerima menerima sumbangan zakat sebanyak RM200 setiap seorang.
“Program ini adalah antara inisiatif tanggungjawab sosial syarikat yang kita laksanakan setiap tahun bagi membantu golongan memerlukan.
“Setakat ini kita sudah mengagihkan zakat di beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah sebelum menutup program pada Ramadan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Infaq dan Sumbangan Zakat Aidilfitri 2026 yang diadakan dengan kerjasama KIMMA Pahang di sini.
Mohammad Arrief berkata, pihaknya berharap program kebajikan itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan dan doa daripada semua pihak.
“Insya-Allah kami berharap syarikat ini terus diberkati dan dimurahkan rezeki supaya dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KIMMA Pahang, Mohamad Anuar Isob merakamkan penghargaan kepada pihak syarikat yang tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf di negeri ini.

Pengerusi KIMMA Pahang, Mohamad Anuar Isob
Katanya, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penerima terutama dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.-SAHIH
