Lebih 120 Sertai Fun Run dan Brisk Walk Anak Muda Jerantut
Foto : Peserta bergmabra beramai-ramai sebelum dilepaskan.
Lebih 120 Sertai Fun Run dan Brisk Walk Anak Muda Jerantut
JERANTUT – Lebih 120 peserta menyertai program Fun Run dan Brisk Walk Anak Muda Jerantut yang diadakan di Taman i-City Jerantut, malam tadi, sekali gus menghidupkan suasana bandar dengan aktiviti sihat pada waktu malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan membuka minda masyarakat khususnya golongan muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan sukan secara konsisten.

Haris Salleh (tengah) sebelum acara dimulakan.
Menurutnya, program itu bukan sahaja menggalakkan penyertaan individu malah turut menarik kehadiran peserta bersama ahli keluarga, sekali gus memberi peluang merapatkan hubungan kekeluargaan dalam suasana santai dan sihat.
“Kita mahu bandar Jerantut sentiasa aktif walaupun pada waktu malam. Jerantut merupakan pintu masuk utama kepada pelancong yang berkunjung ke Taman Negara, selain menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program berkenaan yang diadakan secara terbuka tanpa sebarang bayaran dan berlangsung setiap hari Selasa bermula di Taman i-City.
Sebanyak tiga kategori disediakan kepada peserta iaitu Brisk Walk sejauh lima kilometer, Fun Run lima kilometer dan Fun Run 10 kilometer, yang disertai oleh pelbagai lapisan umur.
Haris menambah, inisiatif itu diharap dapat menjadi platform positif untuk anak muda dan komuniti setempat berinteraksi, sekali gus mewujudkan bandar Jerantut yang aktif, bersatu dan bersemangat komuniti.-SAHIH.
