Laporan polis terhadap Najib di IPD Jerantut, hari ini.
Laporan polis terhadap Najib di IPD Jerantut, hari ini.
JERANTUT – Tiga laporan polis telah dibuat terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan RM67.5 billion daripada waris kesultanan Sulu menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan besar itu daripada waris tersebut.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jerantut, Muhamad Rafly Mohd Satar berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil dengan segera mengikut peruntukan kanun jenayah yang sedia ada.
“Hari ini (Selasa),saya dan beberapa rakan lain telah membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Jerantut pada jam 11.10 pagi, sebagai sebagai rakyat Malaysia kita mahu kecuaian atau sekiranya wujud penyelewengan perlu disiasat serta diambil tindakan undang-undang ke atas Najib.
“Saya amat berharap laporan kami hari ini serentak dengan tujuan yang sama dilakukan Rafizi Ramli bersama Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad di Balai Polis Setiawangsa bagi membolehkan Polis Di Raja Malaysia dan pihak berkuasa lain membuka kertas siasatan,” katanya di Laman Mat Kilau Jerantut.
Menurut Mohamad Rafly, beliau dan rakannya dari PKR dan Amanah membuat laporan itu demi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang mahu sama ada kecuaian atau sekiranya wujud penyelewengan perlu disiasat serta diambil tindakan undang-undang ke atas Najib.
“Laporan ini untuk memastikan seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya kepada media sejurus laporan polis itu dibuat di luar perkarangan IPD Jerantut.
Katanya, terdapat Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).
“Akta dan peraturan ini boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan,” katannya.
Ketua Cabang PKR Kuala Krau, Mohamd Hafez Harun berkata, ramai Ahli Parlimen dan juga rakyat Malaysia risau mengenai aset negara kita yang disita, diambil, dirampas oleh mana-mana pihak.
“Waris kesultanan Sulu membuat tuntutan selepas pentadbiran negara yang diketuai Najib membuat keputusan menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013,” katanya.
“Justeru, kita perlukan jawapan yang jelas, bukan sahaja di Parlimen tetapi oleh pihak kerajaan, oleh itu kami keluar beramai-ramai membuat laporan polis di IPD Jerantut hari ini.
Setiausaha Amanah Kawasan Jerantut, Norani Mohd Arshad berkata, notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Najib masih menjadi Perdana Menteri.
“Sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas pasti beliau (Najib) telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan.
“Kami berharap Parlimen atau Speaker dapat menerima dan membenarkan ahli-ahli Parlimen membahaskan isu kedaulatan negara ini, kami kecewa tindakan speaker yang mengenepikan hak ahli Parlimen untuk mengusulkan perkara yang begitu penting terkait dengan kedaulatan negara,” katanya.-SAHIH.