LAPORAN COVID-19 BUKAN REKAAN
LAPORAN COVID-19 BUKAN REKAAN
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menafikan dakwaan kononnya jumlah harian individu dijangkiti COVID-19 di seluruh negara adalah rekaan.
Beliau berkata, kerajaan serius dalam usaha memastikan penularan pandemik ini diputuskan dan sudah mengenal pasti punca peningkatan kes.
“Angka COVID-19 sejak beberapa hari ini tidak menentu dan ia bukanlah satu angka yang sengaja diada-adakan seperti dakwaan segelintir pihak.
“Punca peningkatan kes COVID-19 disebabkan pelbagai faktor, namun usaha terbaik bagi menurunkan angka jangkitan wabak ini dan melandaikan grafnya adalah dengan sikap kita sendiri,” katanya dalam kenyataan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Gambar Hiasan
Ismail Sabri berkata, beliau yakin rakyat di negara ini mampu melawan COVID-19 dengan meningkatkan kawalan kendiri, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan mengambil tahu persekitaran serta mengehadkan Pergerakan, lapor BH ONLINE.
Beliau berkata, langkah ini mesti dilaksana pada semua peringkat dan usaha ini hanya dapat dicapai sepenuhnya dengan kerjasama padu semua pihak membabitkan barisan hadapan, masyarakat hinggalah kepada individu.
“Kita mesti disiplinkan diri untuk menang. Saya yakin, kita mampu memutuskan rangkaian COVID-19,” katanya.