Lapan sekeluarga selamat, seorang maut dalam serangan gajah di Lipis
Lapan sekeluarga selamat, seorang maut dalam serangan gajah di Lipis.
LIPIS : Lapan sekeluarga Orang Asli terselamat dan seorang maut dalam serangan sekumpulan gajah yang menyerang tempat tinggal mereka di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, dekat Sini, pada jam 4.45 pagi, hari ini.
Wanita yang maut itu Wan Angkat A/p Yong Tong berusia 39 tahun maut dipercayai tidak sempat melarikan diri dalam serangan sekumpulan gajah itu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, anggota polis Balai Polis Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat dari orang awam berkaitan dengan kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang wanita Orang Asli telah meninggal dunia dan punca kematian dipercayai cedera parah akibat dipijak oleh gajah.
“Rumah mangsa dan ahli keluarganya tinggal di rumah kayu berdinding buluh yang terletak di kampung itu dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah,” katanya.
Azli berkata, ketika kejadian sekumpulan gajah telah menarik dinding dan rumah mereka bergoyang semasa mereka tidor dan apabila mereka tersedar mereka melarikan diri dalam keadaan gelap.
“Selepas keadaan reda, mereka berkumpul semula dan menyedari salah seorang ahli keluarga mereka tiada dan mereka mencari dan menjumpai mayat mangsa berada di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka,” katanya.
“Mayat mangsa dibawa oleh anggota polis ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya-SAHIH.