LAPAN KENDERAAN HANGUS DALAM KEBAKARAN
LAPAN KENDERAAN HANGUS DALAM KEBAKARAN
Bayan Lepas: Cuti hujung minggu seorang jurujual dikejutkan dengan kebakaran kereta miliknya di sebuah kondominium, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.50 petang, sebuah kereta lain dan enam motosikal pelbagai jenis yang diletakkan di bawah kondominium berkenaan turut musnah.
Mangsa Chin Yee Wei, 40, berkata dia sedang menonton televisyen di rumah sebelum terhidu bau asap lalu melihat menerusi tingkap.
Katanya, dia mendapati abu berterbangan lalu bergegas turun dari rumahnya di tingkat 11 kondominium itu.
“Rupa-rupanya kereta saya antara lapan kenderaan yang terbakar dan penduduk turut menjerit memaklumkan kepada penghuni supaya turun ke kawasan lapang.
“Mujurlah api tidak merebak ke rumah penghuni di tingkat satu kerana api menjulang tinggi dan tiada penduduk yang menyedarinya.
“Saya tidak pasti jika ada menyimpan dokumen penting dalam kereta, sukar hendak kesan kerana semua sudah hangus,” katanya ketika ditemui, di sini.
Sementara itu, Ketua Operasi Rohaizal Abdul Aziz dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.06 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Bayan Baru dan BBP Jalan Perak serta beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran diarahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran, lapor HM online
“Keadaan angin kencang sedikit menyukarkan kerja memadam api, namun ia berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian.
“Kebakaran itu membabitkan dua kereta dan enam motosikal yang keseluruhannya musnah sehingga 85 peratus.
“Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian dalam siasatan,” katanya.