Lapan Buah Rumah Rakyat Pahang Diserahkan di Kg. Paya Luas
Lapan Buah Rumah Rakyat Pahang Diserahkan di Kg. Paya Luas
KUALA KRAU– Sebanyak lapan buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4/2023 diserahkan kepada penerima di Kg. Paya Luas, Kuala Krau, dalam satu majlis ringkas petang ini yang disempurnakan oleh YB Dato’ Rodzuan Zaaba, Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri oleh beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli, Pegawai Daerah Temerloh; Encik Rizuwan Said, Pegawai Pertanian Daerah; Encik Muhammad Aizuddin Rupawon, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan); dan wakil dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Encik Muhammad Ikmal Shaharul Azhar.
Turut hadir, Penghulu Mukim Jenderak 2 yang juga Menanggung Kerja Penghulu Mukim Jenderak 1, Encik Shamsul Nahar Mat Aziz, serta Pengerusi JPKK Kg. Paya Luas dan Kg. Tanjung Kubu.
Program RRP yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 telah menyaksikan sebanyak 18 buah rumah diluluskan di bawah Dewan Negeri Jenderak sehingga Fasa 4, menjadikannya antara kawasan yang menerima manfaat terbesar di bawah Parlimen Kuala Krau, iaitu sebanyak 45 peratus daripada jumlah keseluruhan 40 buah rumah.
Untuk tahun 2025, Dewan Negeri Jenderak sekali lagi menerima lapan buah rumah di bawah RRP Fasa 5.
Temerloh merupakan antara lima daerah yang dipilih LPHP untuk meneruskan pembinaan rumah bagi fasa ini susulan kejayaan menyiapkan projek fasa-fasa terdahulu.
Menurut rekod Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Focus Group (FGD) Temerloh, sebanyak 204 rumah bina baru dan 506 rumah baik pulih telah dilaksanakan dari tahun 2022 hingga 2024 melalui pelbagai agensi termasuk KKDW, ICU JPM/SDO Pahang dan MUIP.
Namun, seramai 345 orang masih menunggu bantuan perumahan di daerah ini, termasuk 110 orang dari Parlimen Kuala Krau dan 54 orang dari Dewan Negeri Jenderak.
Kerajaan komited untuk terus menyalurkan bantuan melalui pelbagai saluran bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.-SAHIH