LAPAN BENGKEL MUSNAH TERBAKAR
LAPAN BENGKEL MUSNAH TERBAKAR
KUANTAN – “Dari jauh saya nampak asap tebal, dan hati saya berdebar-debar namun masih berharap bukan bengkel ayah yang terbakar.
“Namun sudah ditakdirkan, bengkel yang diusahakan ayah selama lebih 30 tahun musnah sekelip mata,”kata Jogender Kaur, 49, anak kepada pemilik bengkel yang terbakar di Jalan Tanjung Api-Padang Lalang, di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, bengkel kenderaan berat milik bapanya, Sarjit Singh, 74, antara lapan bengkel kenderaan yang musnah dalam kebakaran berkenaan namun enam pekerja warga asing yang tinggal di premis itu berjaya menyelamatkan diri.
Jogender berkata, dia dan bapanya bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan barang-barang selepas menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan kejadian itu.
“Ketika tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 6 pagi, kami tidak dibenarkan untuk mendekati kawasan kejadian kerana bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.
“Saksi kejadian memberitahu kebakaran itu dikatakan berpunca daripada jentolak yang diletakkan di depan bengkel bapa untuk dibaiki sebelum ia merebak ke bangunan berkenaan,”katanya di sini, hari ini, lapor kosmo online
Menurut Jogender, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa melakukan siasatan kerana bapanya menyatakan jentolak terbabit tidak mempunyai bateri dan sistem elektrik semasa kejadian.
Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
27 Ogos 2021, 3:09 pm
Gambar: Bomba