Lantikan Haris Salleh tepat pada masa
Lantikan Haris Salleh tepat pada masa
JERANTUT – Kelulusan usul dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sidang DUN Pahang hari ini bagi melantik Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah sebagai ADUN lantikan amat bersesuaian.
Ini kerana Haris Salleh adalah seorang peguam yang dikenali dan aktif dalam kerja kemasyarakatan.
Ketua UMNO Cawangan Jengka 24, Razak Daud berkata, pemilihan Haris Salleh juga dibuat secara teliti oleh Wan Rosdy, selain dipersetujui oleh barisan Exco Kerajaan negeri yang bermesyuarat sebelum ini.
“Saya mewakili ahli akar umbi UMNO Cawangan Jengka 24 sangat teruja dengan pelantikan dibuat Menteri Besar dan yakin Haris Salleh dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Selain itu, kepakaran dan kebolehan dimiliki Haris Salleh juga dapat memberi manfaat kepada kerajaan Pahang dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri maju,” katanya yang juga AJK UMNO Bahagian Jerantut.
Razak memaklumkan pimpinan UMNO Bahagian Jerantut menyokong penuh lantikan itu dan berterima kasih atas kepercayaan Kerajaan Pahang terhadap Haris Salleh.
“Semoga pelantikan ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak, baik di peringkat Jerantut dan negeri Pahang,” katanya.
Bagi Ketua UMNO Cawangan Sungai Tekam Utara, Sharif Salleh, pelantikan Haris Salleh adalah satu keputusan yang sangat dihargai.
Katanya, sudah tentu pelantikan dibuat adalah hasil kebijaksanaan dan perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Bagi kami di peringkat Cawangan Sungai Tekam Utara, kami akan berikan sokongan 100 peratus kepada Haris Salleh dan sudah tentu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kami akan pastikan UMNO kekal sebagai benteng utama untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Labu, Jerantut, Datuk Wan Zamsuri Wan Hasnan menyatakan rasa bangga atas lantikan Haris Salleh sebagai ADUN dilantik oleh kerajaan Pahang.
“Keputusan melantik Haris Salleh ini diyakini melalui perbincangan teliti dan seterusnya diperkenan oleh Baginda Sultan Pahang.
“Kami sangat bangga dengan kepercayaan Datuk Seri Wan Rosdy terhadap pimpinan UMNO Bahagian Jerantut dan kita akan membalas kepercayaan diberikan sebaik mungkin dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. – SAHIH