LANGGAR KEPUTUSAN MT UMNO CONTOH LEMAH
LANGGAR KEPUTUSAN MT UMNO CONTOH LEMAH
KUALA LUMPUR: Meramalkan lebih banyak negeri dan bahagian akan melanggar keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak mahu bersama BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah contoh yang lemah.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bekata, tindakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) memberi contoh Perlis dan Sabah dalam situasi berkenaan adalah tidak tepat.
SHAHRIR SAMAD
“Bagi Perlis, BERSATU tidak menang pun walau satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Maka, bunyinya sedaplah apabila (Datuk Seri) Shahidan (Kassim) berkata Perlis tidak akan ikut keputusan MT dan sebaliknya akan kerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau BERSATU tak menang DUN atau kawasan Parlimen di Perlis, adakah Shahidan bersedia menyerah satu atau dua kerusi BN kepada BERSATU untuk ditandingi? Atau PAS nak buat begitu? Atau suruh BERSATU bertanding kerusi yang BN kalah?
“Begitu juga di negeri Annuar Musa. BERSATU ada kerusi Parlimen Jeli kerana (Datuk Seri) Mustapa Mohamed melompat keluar dari UMNO. Mahukah UMNO Kelantan menyerahkan Jeli kepada BERSATU?
“Bak kata seorang pemimpin UMNO Kelantan, kerana PAS berada dalam PN, PAS lebih banyak kerusi untuk diberi satu kepada Tok Pa,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini, lapor Malaysiapost.
Sabah pula, menurut Shahrir telah diberi autonomi untuk mengendalikan hal parti di negeri itu, maka apa pun pendirian UMNO negeri itu, beliau berpandangan MT UMNO akan menghormatinya.
“Kesimpulannya, keputusan MT UMNO tidak sama sekali memeranjat saya dan bahagian Johor Bahru. Itulah kehendak kami pun.
“Betul BERSATU menang DUN Larkin pada PRU14. Tapi menang atas tiket Pakatan Harapan (PH). Berapa undi yang BERSATU dapat atas kekuatan sendiri sebenarnya,” katanya lagi.
GAMBAR HIASAN
Beliau mendakwa BERSATU sedang bergaduh sesama sendiri di Johor Bahru hingga tidak mampu memberi nama calon parti untuk duduk sebagai Ahli Majlis Bandaraya.
“Kalau tidak ada kekuatan sebenar, rugi untuk UMNO pula yang kena dokong calon BERSATU pada PRU15!
“Kami di JB akan tetap mahukan BN bertanding di ketiga-tiga kerusi parlimen dan DUN di Johor Bahru,” katanya.
Terdahulu, Annuar dilaporkan berkata semakin banyak bahagian UMNO memilih mengkaji semula pendirian dengan lebih teliti untuk mengambil langkah lebih bijaksana iaitu kekal berkerjasama dengan Bersatu dan PN.
Annuar turut mengucapkan tahniah kepada UMNO Sabah yang mengikut langkah UMNO Perlis dalam menzahirkan pendirian untuk kekal bekerjasama dengan BERSATU, selain percaya beberapa lagi negeri akan menyusul.