LANGGAR KABEL SYARIKAT TELEKOMUNIKASI
LANGGAR KABEL SYARIKAT TELEKOMUNIKASI
Alor Gajah: Tujuh pekerja kilang berdepan detik cemas apabila van dinaiki terbalik selepas melanggar kabel dipercayai milik syarikat telekomunikasi yang merentangi jalan dalam kejadian di Kampung Pegoh Dalam, di sini, kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, van kilang terbabit membawa tujuh penumpang wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.33 malam sebelum sepasukan lapan anggota termasuk komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya mendapati ada sebuah van kilang dalam keadaan terbalik di bahu jalan.
“Pemeriksaan di dalam van itu kemudian mendapati terdapat mangsa di dalamnya sebelum usaha menyelamat dijalankan dengan membawa keluar semua lapan mangsa.
“Empat mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Alor Gajah dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan EMRS,” katanya ketika dihubungi, lapor HM online.
Menurut beliau, tiga lagi penumpang serta pemandu van berusia 73 tahun terselamat dan operasi menyelamat tamat kira- kira 30 minit kemudian.
“Ketika kejadian van itu dalam perjalanan pulang dari sebuah kilang di Kelemak ke Kampung Pegoh Dalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.