Lanchang Bakal Jadi ‘Syurga’ Baharu Seladang – Pusat Konservasi Tambahan Bakal Dibina
Lanchang Bakal Jadi ‘Syurga’ Baharu Seladang – Pusat Konservasi Tambahan Bakal Dibina
KUANTAN – Spesies seladang yang semakin terancam kini bakal mendapat ‘rumah kedua’ apabila Kerajaan Negeri Pahang merancang untuk membina sebuah pusat konservasi tambahan khusus bagi haiwan liar itu di Lanchang.
Langkah tersebut diumumkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baru-baru ini dan dilihat sebagai satu inisiatif proaktif dalam memastikan kelangsungan hidup spesies tersebut tidak pupus begitu sahaja.
Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff,
Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang berkata, konservasi baharu itu akan melengkapkan fasiliti sedia ada selain memperkasa program pemuliharaan seladang yang sudah pun berjalan di negeri ini.
Malah, ia juga dijangka menjadi satu tarikan baharu dalam sektor ekopelancongan Pahang, khususnya di kawasan Lanchang yang sememangnya sudah terkenal dengan pusat konservasi Gajah Kebangsaan (NECC) dan Harimau Malaya (MTCC).
“Pembinaan pusat ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada usaha pemuliharaan tetapi turut berpotensi menjadikan Lanchang sebagai hab pemuliharaan hidupan liar bertaraf dunia,” kata satu kenyataan daripada kerajaan negeri.
Difahamkan, selain sebagai lokasi pemuliharaan, pusat berkenaan juga bakal menjadi pusat pendidikan dan penyelidikan yang terbuka kepada pelajar, penyelidik dan pelancong.
Penduduk setempat turut menyambut baik cadangan tersebut kerana yakin pembangunan itu akan membawa limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar selain memperkukuh kesedaran awam terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Dengan inisiatif ini, Pahang dilihat terus mengorak langkah ke hadapan dalam menjadikan negeri itu sebagai peneraju pemuliharaan hidupan liar dan biodiversiti di Malaysia-SAHIH