LAMPARD TERUJA AKSI PEMAIN MAGRIBI BERSAMA PASUKAN
Berita Sukan
LAMPARD TERUJA AKSI PEMAIN MAGRIBI BERSAMA PASUKAN
KRASNODAR, Russia: Pengurus Chelsea, Frank Lampard berkata dia menjangkakan Hakim Ziyech akan membuktikan nilai sebenar selepas bintang Maghribi itu meledak jaringan sulung buat kelab berkenaan awal pagi tadi ketika menang 4-0 di Krasnodar dalam saingan Liga Juara-Juara.
Jorginho gagal menyempurnakan penalti buat Chelsea tapi Callum Hudson-Odoi meletakkan Blues di depan sebelum tamat babak pertama selepas kesilapan penjaga gol Krasnodar, Matvei Safonov.
Timo Werner menyempurnakan penalti pada minit ke-76 untuk menggandakan kelebihan Chelsea manakala Ziyech dan Christian Pulisic menambah gol lewat pelawat di Russia.
“Hakim Ziyech bekerja keras untuk cergas, dan saya sangat teruja untuk mendapat kualiti miliknya dalam pasukan,” kata Lampard.
“Saya rasa persembahannya sangat-sangat bagus apabila anda memikirkan dia tidak memulakan permainan sejak Mac, selepas berakhir liga Belanda.”
Ziyech menyertai Chelsea daripada Ajax dengan perpindahan bernilai £37 juta (RM199.66 juta) pada musim panas tetapi terlepas saingan awal musim kerana kecederaan lutut.
Pemain berusia 27 tahun itu membuat tiga penampilan selaku pemain gantian sebelum mendapat permulaan sulung di Krasnodar – 3,500 kilometer dari London.
Sumber : AFP