LAMBAKAN BUAH DURIAN DIJANGKA AKAN BERLAKU DI JERANTUT
LAMBAKAN BUAH DURIAN DIJANGKA AKAN BERLAKU DI JERANTUT
JERANTUT: Musim buah durian mula meluruh dan dijangka berterusan sehingga akhir bulan September, malangnya buah popular Malaysia itu bakal tidak dapat dipasarkan seperti biasa kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini.
Dijangka pekebun, pemborong dan penjual durian di Jerantut bakal mengalami kerugian atau jualan akan merosot serta berlaku lambakan buah itu kerana PKP dan PKPD dilaksanakan di bandar Jerantut.
Mereka tidak dapat lagi menjual durian secara terus kepada pembeli kerana bandar itu kini di kenakan penguatkuasaan PKPD sejak minggu lalu yang membabitkan 64 buah taman perumahan dan penempatan di sekitar bandar Jerantut.
Oleh itu, penjual buah durian menggunakan kaedah lain dengan menjual secara penghantaran terus (COD) bagi menggelakkan berlaku lambakan raja buah itu.
Seorang peniaga durian di sini, Mokhtar Omar (54) berkata, PKPD menyukarkan dia menjual buah ini di tempat terbuka, dia terpaksa beralih kepada cara penghantaran terus di sekitar bandar Jerantut.
” Saya berniaga durian lebih 30 tahun, inilah saat sukar yang hadapi, durian kampung dan durian klon seperti musang king, D24, IOI, duri hitam dan udang merah bakal berlaku penurunan harga.
“Buah durian di daerah ini mula gugur minggu ini dan ramai pekebun kecil mengharapkan kami mengambil buah ini untuk dipasarkan, namun oleh kerana PKP dan PKPD, saya tidak dapat menjual ke tempat lain, ” katanya.
Mokhtar yang membeli buah dari pekebun di sekitar Kampung Sungai Lekuk dan Sungai Par, setiap hari menerima penghantar buah baharu ke tempatnya.
“Saya tidak tahu ke mana nak dipasarkan kerana selalunya saya menjual secara statik berdekatan Pasar Besar jerantut, peraturan sekarang saya hanya menjual di rumah secara COD.
“Seminggu ini dijangka buah durian akan mula keluar dari Kampung Ulu Cheka, Damak dan Batu Balai, maka akan berlaku tambahan lambakan buah ini,” katanya.
Isterinya, Siti Balqis Lokman, 35 , berkata, terpaksa membantu menjual secara penghantaran terus ini dengan membuat iklan jualan secara atas talian di media sosial serta mengambil pesanan daripada pelanggan.
“Saya juga terpaksa melantik beberapa orang penghantar durian bagi memudahkan durian dihantar ke rumah pelanggan di sekitar bandar Jerantut dengan dikenakan bayaran RM 3, selain itu mengupah pekerja untuk memproses isi durian untuk dijadikan tempoyak.
” Jualan tahun ini juga agak perlahan di mana saya hanya mampu menjual sekitar 100 kilogram sahaja sehari berbanding dahulu boleh mencecah satu tan sehari,” katanya.
Katanya, keadaan yang berlaku sekarang menyebabkan harga buah durian agak murah berbanding tahun tahun sebelumnya.SAHIH.