Laluan kecemasan di LPT1 ditutup mulai Oktober
Laluan kecemasan di LPT1 ditutup mulai Oktober
Foto hiasan : Laluan Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak
TEMERLOH – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan memulakan kerja-kerja fasa satu projek pengurusan banjir (flood mitigation) di LPT1, mulai 1 Oktober ini.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, projek itu yang akan melibatkan 11 kawasan kritikal sepanjang Lebuhraya LPT1 dan sebahagian komitmen berterusan syarikat dan kerajaan bagi mempertingkatkan tahap keselesaan dan keselamatan para pengguna LPT1 terutamanya di musim tengkujuh.
“Fasa pertama melibatkan jaringan di KM124 dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan dan laluan itu akan menutup laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi itu selama enam bulan bermula dari Oktober 2022 sehingga April 2023.
“Manakala laluan kecemasan KM124 arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula dari bulan Mei sehingga November 2023, “ katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, ANIH mengambil beberapa langkah penting termasuklah menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1 bagi mengenalpasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir dari berulang.
“Syarikat ini sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan rekabentuk dan proses kerja projek tersebut.
“Antara kajian utama yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuklah semakan dan penilaian data kajian lampau berkaitan isu banjir, termasuk analisis dan penilaian hidrologi, hidraulik serta kajian kesesuaian tanah (Soil Investigation),” katanya.
Menurutnya, keseluruhan projek pengurusan banjir ini dijangka akan mengambil masa selama dua tahun.
“Selain menutup laluan kecemasan, ANIH Berhad juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalulintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh tersebut.
“Para pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan sepanjang projek pengurusan banjir ini dijalankan,” katanya.
Tambahnya, ANIH Berhad juga telah mengaktifkan semua saluran YouTube syarikat itu, ANIH TV bagi memastikan para pengguna sentiasa mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai projek tersebut.
“Segment ANIH Menjawab yang bakal disiarkan pada setiap hari Rabu bermula 12 Oktober, para pengguna akan dimaklumkan tentang perkembangan terkini projek tersebut termasuk informasi laluan sementara sepanjang tempoh tersebut.
“Selain itu, para pengguna juga boleh mendapatkan informasi lanjut, tepat dan terkini, melalui laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818- 700,” katanya.
Sumber : Astro Awani