KERETA DILANGGAR BAS EKSPRES
Kereta dilanggar bas ekspres.
Maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di simpang tiga Kilometer 12 Jalan Bentong-Raub di sini, hari ini.
Samsuna Jamaludin,58 maut apabila sebahagian kanan kereta jenis Proton Persona dipandu beliau remuk teruk.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yusof Unis berkata, kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu berlaku ketika mangsa, Samsuna Jamaludin, 58,dalam perjalanan dari Mempaga ke Lurah Bilut.
“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai tiba-tiba kereta dipandu mangsa keluar dari Simpang Mempaga secara mengejut mengakibatkan pemandu bas tidak sempat mengelak lalu terlanggar di bahagian sisi sebelah kanan kereta.
“Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, pemandu dan 11 penumpang bas tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.