Lagenda Orkestra RTM bersara
Lagenda Orkestra RTM bersara
Foto atas: Datuk Mokhzani Ismail
KUALA LUMPUR – “Saya bersara sebagai penjawat awam bukan bersara daripada muzik,” kata mantan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (ORTM), Datuk Mokhzani Ismail.
Menyingkap perjalanan Mokhzani lulusan Berklee yang cukup panjang, dari memimpin kumpulan muzik di bawah khemah, tiada siapa menyangka beliau pernah ke pentas elit memimpin Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) di Petronas.
Dari pengalaman bekerja bersama penyanyi lagu-lagu Asli, Rosiah Chik dan SM Salim beliau melonjak ke pentas jazz menjadi Pengarah Muzik kepada pemain trumpet jazz Chris Booty dalam konsert Asia Tour bersama MPO di Kuala Lumpur.
Malah berpengalaman sebanyak 3 kali memimpin big band ke Java Jazz Festival di Jakarta Indonesia membuktikan kehebatannya.
Beliau seorang juri pertandingan Bintang RTM terus ke pentas Gegar Vaganza Astro dan turut dilantik sebagai ketua juri Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3 , cukup meletakkan Mokhzani sebagai tokoh muzik terpenting dalam industri Muzik Malaysia. Malah tidak ramai ahli muzik serbaboleh di Malaysia yang mampu diletakkan di mana sahaja.
Beliau anak jati negeri Perlis, bermula sebagai guru lulusan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPIK), Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1980-1981, di usia 20-an, kemudian ditawarkan biasiswa pada tahun 1986 untuk melanjutkan pengajian muzik peringkat ijazah di Berklee College of Music, Boston.
“Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, bermulalah perjalanan baharu saya di RTM pada tahun 1991 sebagai pemain piano, pada tahun 1993 buat julung kali diberi tugasan memimpin Orkestra RTM di Konsert Senada Seirama dari Medan Indonesia.
“Konsert demi konsert sehingga tahun 1996, saya menjadi pengurus orkestra dan mengetuai Jazz band RTM ke Thailand International Jazz Fest dan sempat bertemu Sergio Mendes, Dave Valentine, Benny Carter, David Sanborn dan ramai lagi pemuzik handalan,” katanya.
Bersama orkestra RTM , Mokhzani menjadi tenaga penting di sebalik penglibatan RTM, penganjuran Konsert Simfoni Irama Malaysia 2006, Simfoni Putrajaya 2007, Konsert Jazz Tribute to Malaysian Composer 2010, Konsert Gemilang 50 ORTM 2011.
Selain di Java Jazz Festival , konsert di Raja dan Konsert Perdana sudah cukup sinonim dengan ‘air tangan’ Mokhzani sehinggalah Konsert Bangkit Malaysia 2020 yang menyaksikan tiga orkestra terbaik negara bergabung iaitu MPO, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Orkestra RTM.
Mokhzani juga merupakan tenaga penting dengan pengiktirafan 5 Anugerah Malaysia Book of Records untuk Orkestra RTM.
Katanya, selain dari kerjaya sebagai pengarah muzik, tidak terlepas melibatkan diri dengan universiti dan sekolah sebagai pensyarah, memberi motivasi, bengkel dan kelas “masterclass”.
Beliau turut dilantik sebagai professor pelawat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada tahun 2016.
“Tuah mendatang pada tahun 2015, saya ditawarkan sebagai duta piano ‘hagspiel’ buatan German yang berpusat di Schenzen China.
“Satu sejarah bagi pemuzik Malaysia berjaya memecah industri muzik jazz di China dengan konsert solo di beberapa bandar seperti Shanghai, Tianjin,Guanzhou, Herbei dan Beijing telah mendapat sambutan hebat,” katanya.
Malah Mokhzani turut memegang dua Malaysia book of Record sebagai pemuzik pertama ‘merempuh’ Tembok Besar China sebagai duta piano antarabangsa dan pemuzik pertama bermain ‘live’ di negara itu serta sebuah album The Great Wall Comes Alive turut diterbitkan selepas itu.
Pencipta lagu tema Merdeka antaranya Malaysia Prihatin (nyanyian Ernie Zakri) dan Menang Bersama nyanyian Faizal Tahir ternyata terus aktif dengan persembahannya di sekitar Ibu negara dengan kemunculannya menemui peminat jazz di kelab-kelab eksklusif.
“Saya doakan Orkestra RTM terus maju dan mengekalkan kehebatannya sesuai dengan usianya sebagai orkestra tertua di Malaysia. Semoga pengganti saya meneruskan apa yang telah saya lakukan dalam mengekalkam reputasinya sebagai orkestra terbaik di rantau ini.
Pada tarikh 21 Februari 2022 yang lalu, berakhirlah Datuk Mokhzani sebagai penjawat awam dan pasti kekal dalam ingatan dan nama beliau akan terus terpahat sebagai satu lagi tokoh pemimpin orkestra dan pemain piano jazz yang dikagumi.-SAHIH