KURANG AKTIVITI KOKURIKULUM MUZIK MENYUMBANG MELEMAHKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MUZIK
KURANG AKTIVITI KOKURIKULUM MUZIK MENYUMBANG MELEMAHKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN MUZIK
Kekurangan aktiviti kokurikulum sekolah-sekolah dalam bidang muzik di peringkat pejabat pendidikan daerah (PPD) , jabatan pendidikan negeri (JPN) dan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendatang kesan tanpa sedar dan secara tidak langsung ‘melemahkan’ pendidikan muzik di sekolah-sekolah.
Guru pendidikan muzik di sekolah merasakan mereka tidak dicabar dengan tiadanya program bercorak pertandingan atau pesta yang diadakan di pelbagai peringkat serta tanpa arahan keperluan daripada pihak pentadbir sekolah untuk menyertai sesuatu program turut menjejaskan hala tuju pendidikan muzik di dalam kelas.
Tiada pertandingan atau pesta kadang-kala menyeronokan kepada seseorang guru yang memang tidak mahu menyahut cabaran, tetapi menyedihkan kepada guru yang aktif dan berkebolehan melatih pelbagai aktiviti muzik, usaha guru tersebut sekadar mengadakan persembahan di sekolah tanpa ada satu kayu pengukur untuk menguji guru yang berkebolehan.
Kadang-kala terdapat pihak PPD atau JPN mengambil secara tangkap muat dengan memilih sesebuah sekolah itu untuk mewakili daerah atau negeri masing-masing ke pertandingan atau pesta yang diadakan sebagai ‘asal ada penyertaan’ dan menjadi petunjuk indeks prestasi (KPI) pihak tersebut.
Bila berlaku perkara demikian, tanpa sedar juga menyebabkan guru terutama yang aktif dan teruja untuk menyertai pertandingan atau pesta akan terus ‘sedih dan murung’ kerana tidak dapat ketengahkan bakat murid masing-masing sekolah masing-masing selain mengumpul sijil sebagai tanda penyertaan.
Semua maklum, subjek pendidikan muzik memang tiada peperiksaan bertulis seperti subjek teras yang lain khususnya di sekolah rendah dan di peringkat menengah kecuali pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) atau pentaksiran bilik darjah (PBD).
PBS atau PBD memang bagus kerana dilakukan secara berterusan di dalam bilik darjah dan lebih menjurus kepada pentaksiran secara amali berbanding secara bertulis kerana mengikut Dokumen Standard Prestasi Sekolah Rendah atau Menengah (DSKP) aspek teori muzik hanya mempunyai peratusan yang rendah berbanding amali.
Oleh itu, menyertai aktiviti kokurikulum dalam bidang muzik turut menjadi pemangkin ‘semangat’ kepada guru untuk sentiasa siap siaga setiap tahun dan secara tidak langsung guru akan mempersiapkan murid masing-masing semasa di dalam kelas untuk mencari bakat dan kebolehan muridnya yang boleh menyertai aktiviti yang bakal disertai.
Cara begini, tanpa sedar guru sudah ada murid yang berbakat dan berkebolehan untuk menyertai aktiviti dan boleh mengurangkan cara memilih secara tergesa-gesa atau adhoc.
Berbeza pula aktiviti kokurikulum sukan, pihak KPM sudah menyediakan takwin sebelum setiap tahun baharu bermula dan disesuaikan pula oleh pihak jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah dan semua guru yang terbabit sudah bersedia dengan bakat-bakat mereka.
Kesan tanpa sedar, aktiviti yang bakal disertai oleh murid yang terpilih akan memberi motivasi kepada mereka untuk terus belajar mata pelajaran lain kerana prestasi akademik yang baik memberi ruang kepada mereka untuk terpilih menyertai program muzik yang diadakan.
Ini disebabkan terdapat guru yang baik mementingkan disiplin murid yang bakal menyertai dan mewakili sekolah, prestasi akademik yang rendah membolehkan murid diketepikan untuk menyertai program yang bakal disertai. Pastinya murid akan menunjukkan prestasi terbaik mereka.
Oleh itu, KPM, JPN dan PPD perlu memantau dan memberi penekanan khusus dalam aktiviti muzik dan kesenian agar murid dapat menyertai secara menyeluruh dan holistik serta guru yang mengajar mata pelajaran muzik sentiasa bersedia.
-Petikan daripada Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME)