KUNJUNGAN HORMAT KERJASAMA RAPAT
KUANTAN: Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Pahang, Abdullah Jaafar mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud di Pejabat APMM Pahang, Indera Mahkota, di sini, hari ini.
Menurut hantaran pada laman sosial Facebook DOF Pahang, turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Ketua Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Halina Hashim dan Ketua Pangkalan Perlindungan Sumber Kuantan, Amir Firdaus Mohd Nasir.
PENGARAH APMM PAHANG, LAKSAMANA PERTAMA MARITIM, DATUK AMRAN DAUD (3 DARI KIRI) MENERIMA KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH PERIKANAN PAHANG, ABDULLAH JAAFAR (PALING KANAN) DI PEJABAT APMM PAHANG
Kunjungan hormat dibuat bagi mengukuhkan kerjasama strategik DOF-APMM di peringkat negeri selaras keputusan Jawatankuasa Kerjasama Induk di peringkat Ibu Pejabat yang dipengerusikan bersama oleh Ketua-Ketua Pengarah.
Objektif kerjasama ialah membanteras aktiviti penangkapan ikan yang bertentangan dengan Akta Perikanan 1985 (IUU fishing) dengan matlamat supaya sumber perikanan kekal mampan bagi menjamin bekalan makanan negara.
Ini juga adalah susulan persetujuan Kerajaan Negeri Pahang dalam MMK pada 28 Oktober lalu supaya DOF dan APMM bertindak tegas terhadap pencerobohan vesel nelayan asing serta bekerjasama menangani kes gangguan penguat kuasa asing dalam perairan Malaysia.