Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) pelawa syarikat, korporat menyumbang kepada PJMM
Foto atas : Warga emas Muhammad Lim menyuapkan kek hari jadi kepada Mohd Nafidz sempena sambutan hari kelahirannya yang disediakan oleh KMZ.
Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) pelawa syarikat, korporat menyumbang kepada PJMM
KAJANG – Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) mengambil Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor, sebagai anak angkat sebagai satu usaha korporat dalam kebajikan sejak Ogos 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif KMZ, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak berkata, sehubungan itu semua penghuni dan petugas termasuk rawatan berkhatan untuk mualaf warga emas di PJMM adalah percuma di Megaklinik Zahran sebagai meringankan bebanan pengurusan pusat berkenaan.
Katanya, KMZ amat komited dalam pelbagai perkara berkaitan amal kebajikan dan berasa terpanggil untuk membantu pihak yang memerlukan sokongan atau bantuan bagi tujuan membela nasib mereka yang kurang baik.
“Tidak seharusnya untuk kita hanya sekadar mendengar serta melihat tanpa melakukan apa-apa ikhitiar meringankan keperitanan mereka terutama yang secara sukarela mengurus dan menjaga insan memerlukan pembelaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Kejayaan seseorang bukan setakat dinilaikan dari segi kemewahan hidup, dan sebagainya tetapi akan lebih bermakna apabila menjadi infak amalan dalam hidup kita apabila dapat membantu dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui mengunjungi PJMM dalam lawatan bersama-sama pegawai perubatan dan kakitangan KMZ.
Turut hadir Ketua Konsultan Pemasaran KMZ, Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman; Pengurus Besar KMZ, Dr Sazarul Zafirah Dato’ Seri Zainal Abidin; Pengurus Kanan KMZ, Muhammad AL Barra’ Ayub; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus serta Setiausaha PJMM, Sazali Mohiden dan Mohammad Syafiq Mohiadin.
Mohd Nafidz berkata, beliau difahamkan PJMM hanya menerima bantuan kewangan daripada pihak berkenaan hanya 10 peratus setiap tahun sedangkan kos operasi mereka mencecah RM60,000 sebulan bagi membiayai bil elekterik, air, pengajian kakitangan, penyelenggaraan, pengangkutan, pembelian barangan basah dan sebagainya.
“Pihak kami akan mengkaji daripada maklumat diterima daripada pihak pengurusan PJMM bentuk bantuan diperlukan pusat berkenaan yang kemudiannya akan dikongsi dengan pelbagai pihak termasuk organisasi korporat.
“Syarikat atau korporat yang prihatin bukan setakat boleh menyumbang dari segi keperluan barangan makanan asas, juga berpeluang menghulurkan sumbangan kewangan menerusi wang zakat perniagaan atau pendapatan,” katanya.
Jelasnya, beliau gembira jika syarikat atau bandan korporat dapat bersama-sama KMZ membantu pusat jagaan atau rumah kebajikan yang boleh dilakukan menerusi program tanggungjawab sosial korporat dan boleh dilakukan sesiapa sahaja bagi memastikan pusat jagaan tidak berbayar terus beroperasi. -SAHIH.