KUIPSAS BAKAL PEROLEH STATUS UNIVERSITI PENUH
KUIPSAS BAKAL PEROLEH STATUS UNIVERSITI PENUH
KUANTAN: Sambutan jubli perak penubuhan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) tahun ini lebih bermakna apabila dijangka menerima status sebagai universiti penuh, tidak lama lagi.
Sudah pasti pengiktirafan ini meningkatkan lagi prestij KUIPSAS yang mempunyai kira-kira 5,000 alumni sedang menjawat pelbagai jawatan penting di pelbagai bidang.
Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, pencapaian itu juga dilihat sejajar dengan perancangan ahli lembaga pengarah kolej universiti itu dan sokongan berterusan daripada kerajaan Pahang.
“Kita punya perancangan besar yang sudah siap diatur apabila menjadi universiti penuh nanti. Antaranya kita sasarkan untuk menjadi universiti wakaf seperti Al-Azhar (Universiti Al-Azhar, Mesir) dalam masa beberapa tahun selepas dinaik taraf.
“Untuk itu KUIPSAS berhasrat mewujudkan sebuah yayasan yang bakal menjadi pemudah cara dalam misi ini.
“Sekarang ini pun ramai dalam kalangan penuntut KUIPSAS terdiri daripada golongan B40,” katanya ketika ditemui di sini.
Mohd Zawavi yang menjadi warga KUIPSAS tidak lama selepas institusi pengajian tinggi (IPT) itu dibuka pada 1996 berkata, pihaknya juga bercadang memperbanyakkan lagi kurusus pengajian sebaik sahaja menerima status universiti penuh.
“Sekarang ini kita tawarkan 17 program pengajian diploma, ijazah sarjana muda (lapan) dan masing-masing satu master (ijazah sarjana) serta program asasi merangkumi bidang pengajian pengurusan perniagaan, sistem kewangan Islam dan undang-undang syariah.
“Kita nak tambah lebih banyak kursus peringkat ijazah, master dan doktor falsafah (PhD), terutamanya dalam bidang tahfiz dan juga multimedia.
“Ketika ini terdapat 1,640 pelajar dan 220 kakitangan yang mana 140 daripadanya adalah kakitangan akademik, termasuk lima pensyarah dari Timur Tengah,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya berharap apabila dinaik taraf menjadi universiti penuh nanti, KUIPSAS dapat menarik lebih ramai penuntut dari luar negara.
Mengulas mengenai antara pencapaian alumni KUIPSAS, Mohamad Zawavi berkata, ada antara bekas graduan kolej universiti itu memegang jawatan sebagai hakim syarie, kadi, pensyarah dan pengarah pelbagai agensi kerajaan.
“Kebolehpasaran graduan kita juga sangat bagus dengan lebih 80 peratus memperoleh tawaran kerja sebaik menamatkan pengajian.
“Bagi memudahkan lagi peluang pekerjaan kepada pelajar kita, KUIPSAS menandatangani memorandum persefahaman dengan lebih 20 pemain industri yang memberi fokus kepada bidang kewangan Islam,” katanya.
Ditubuhkan 27 Ogos 1996 dengan nama asalnya Kolej Islam Pahang (KIP) sebelum ditukar kepada Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan kini dikenali sebagai KUIPSAS, kolej universiti ini juga dilantik sebagai pusat rujukan tulisan jawi selepas diperkenankan oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada tahun 2016.-SAHIH