KUIH SATELIT BUMI BESERAH JADI TUMPUAN
KUIH SATELIT BUMI BESERAH JADI TUMPUAN
KUANTAN : Gerai Putu Piring Satelit Bumi Beserah di persimpangan Kampung Alur Ladang Beserah menyediakan hampir 50 jenis juadah dan kuih tradisional Melayu menjadi tumpuan penduduk sekitar Kuantan dan mendapat tempahan dari peminatnya.
Gerai itu dibuka setiap hari kecuali hari Khamis dan beroperasi mulai jam 12 tengah hari sehingga 6.00 petang.
Pengendali gerai itu, Muhammad Amri Wahab, 35, berkata dia menjalankan perniagaan di gerai itu sejak 2014 dengan dibantu isterinya.
“Setiap hujung minggu dan cuti umum, gerainya menjadi tumpuan penduduk sekitar Kuantan, malah mendapat tempahan dari Temerloh, Pekan dan Kemaman, terdapat pengunjung yang datang ke Kuantan serta mempunyai program seperti hari keluarga turut menempah lebih awal sebagai juadah tambahan majlis mereka.
“Juadah yang kerap mendapat perhatian orang ramai ialah putu piring, kuih bekang manis dan lemak, laksa Penang, laksa beras, putu mayang kuah dan beberapa juadah tradisonal yang jarang ditemui dan tidak dikenali khususnya generasi muda,” katanya ketika ditemui.
Isterinya, Siti Bahiah Adanan turut membantu suaminya mengendalikan penjualan juadah di situ, hampir 30 pembekal turut menghantar kuih-muih dan juadah masing-masing ke gerainya untuk dijual.
“Saya dan suami gembira secara tidak langsung membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat khususnya suri rumahtangga sepenuh masa untuk menambah pendapatan sampingan dan gerai ini berperanan seolah pusat sehenti setempat,”katanya.
Katanya, sesiapa berminat untuk menempah boleh hubungi Muhammad Amri Wahab pada nombor 0179404855.
Seorang lagi yang turut menghantar juadahnya di situ, Asiah Uda, 73, berkata gerai di situ turut dikunjungi oleh kaum lain yang meminati makanan tradisional Melayu, ada yang menempah untuk majlis atau jamuan di pejabat.
“Dulu gerai di sini adalah kedai roti canai, tetapi ditutup, maka wujud gerai untuk menjual makanan tradisional yang semakin hari mendapat tempat di hati pengunjung dan pembekal turut bertambah dengan juadah masing-masing untuk dijual,”katanya.