KUCING MAKAN DURIAN
KUCING MAKAN DURIAN
JERANTUT : Durian yang dipanggil raja buah di negara kita menjadi kegemaran semua orang, malah turut menjadi kegemaran haiwan liar yang menceroboh masuk ke kawasan dusun buah tersebut.
Kejadian luar biasa yang dianggap jarang berlaku apabila kucing, haiwan peliharaan yang jinak turut menggemari durian.
Seorang penduduk Kampung Bantal, Hulu Tembeling, Abdullah Khalib, 49, berkata, dia berasa hairan apabila lima ekor kucing jinak yang dipelihara sejak empat tahun lalu memang suka dengan isi durian.
“Sekiranya di luar musim, kucing saya cuma diberi nasi dan lauk kelaziman makanan haiwan ini setiap hari termasuk kerepek ubi, ikan dan cokelat.
“Agak aneh, minat dan selera kucing ini bermula sejak saya pelihara bapa dan ibu (kucing) ini empat tahun lalu menyaksikan haiwan jinak ini amat berminat isi buah durian,” katanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling dekat sini hari ini.
Menurut Abdulah, dia menamakan kucingnya itu, iaitu Tompok (kucing Jantan), Kelabu (ibu kucing) dan anaknya, Tam, Chimey dan Uda (cucu kucing) yang sangat pandai menghidu buah durian dan terus menerpa ketika dia tiba di muka pintu rumah selepas pulang dari dusun.
“Sebagai tidak menghampakan kucing ini yang mengekori ke dalam rumah dan merengek, saya terus membelah buah durian ini dan meletakkan di atas talam untuk memudahkan haiwan ini makan.
“Kucing ini makan isi durian seperti makan nasi dan lauk ikan, menjilat dan menelan satu persatu sehingga licin tinggal biji,” katanya.
Katanya, isterinya, Siti Haliah Nahar, 33 dan tiga orang anaknya kerap melayan kucing peliharaan keluarga itu makan isi durian sehingga selesai kadang-kadang habis dua biji durian yang bersaiz kecil.
“Agak sukar juga apabila ketiadaan buah durian ini dan luar musim, kucing saya masih tidak melupakan buah durian kerana kerap kali menghidu isi tempoyak di dalam bekas terletak di ruang dapur.
“Perlakuan kucing ini agak aneh dan segala-galanya hanya Ketentuan dan Kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk dan hidupan di muka bumi ini,” katanya.-SAHIH.