Kubur dan galeri Mat Kilau didatangi pengunjung dari luar Pahang
Foto atas : Kubur Mat Kilau di Kampung Kedondong, Jerantut.
Kubur dan galeri Mat Kilau didatangi pengunjung dari luar Pahang
JERANTUT – Penangan filem Mat Kilau menyebabkan ramai pengunjung dari luar Pahang memilih menziarahi kubur Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di Kampung Kedondong dekat sini.
Sharul Nizam Ishak ( ) dari Bangi, setelah menonton filem yang sudah mengutip lebih RM80 juta itu, terkait jiwa ini untuk menziarah kubur Mat Kilau di Jerantut.
“Kekuatan filem yang mengisahkan pahlawan Melayu menentang penjajah British pada abad ke-19 itu, saya mengambil peluang melawat kubur ini pada cuti hujung minggu ini bersama isteri saya.
“Isteri saya berasal dari Perak juga teringin untuk melawat kubur ini bersama empat orang anak berusia antara 11 hingga 15 tahun,” katanya.
Katanya, Pahang terkenal dengan tempat peranginan Taman Negara Kuala Tahan, Cameron Highlands danGenting Highlands, termasuk pantai Teluk Chempedak tapi kali ini turut sama menjiwai cerita filem tersebut ke Kampung Kedondong.
Isterinya, Nor Aziyah Abdullah berkata, bagus juga fenomena filem Mat Kilau mula mengingatkan rakyat negara ini tentang sejarah kepahlawanan Melayu menentang penjajah British, perlu perbanyakan cerita seperti ini.
“Setelah menonton filem tersebut, anak-anak saya mula beria-ria mengajak ke kampung ini untuk melihat kubur Mat Kilau dan kesan sejarah tokoh ini dengan lebih dekat kerana tidak puas menonton berikutan adegan perjuangan Mat Kilau di beberapa lokasi sahaja.
“Apabila sampai di sini, baharulah anak saya berpuas hati setelah menziarahi kubur ini dan dapat menyedekahkan surah Al Fatihah untuk tokoh pahlawan ini,” katanya di Kampung Kedondong dekat sini hari ini.
Katanya, filem kebangkitan pahlawan Melayu berdasarkan sejarah memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu terutama kanak-kanak.
“Bagus juga selepas melawat kubur Mat Kilau, masjid lama Pulau Tawar tempat Mat Kilau mengisytiharkan diri pada 1969, tapak rumah kelahiran Mat Kilau, Galeri Mat Kilau di Bukit Rang, Gua Bersejarah Kota Gelanggi dekat sini serta Laman Mat Kilau di bandar Jerantut turut memberi maklumat sejarahnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kedondong/Masjid, Mohd Rozi Rozuki berkata, sehingga ini ramai pengunjung dari luar singgah ke kawasan kubur Mat Kilau, Galeri Mat Kilau dan beberapa buah tempat sejarah di situ.-SAHIH.