KUANTAN KINI BERGELAR BANDARAYA
KUANTAN KINI BERGELAR BANDARAYA
KUANTAN: Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, majlis pemasyhuran itu akan dilaksanakan menurut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi membendung wabak pandemik Covid-19.
Menurutnya, jumlah jemputan dihadkan bagi memastikan pematuhan aspek penjarakan fizikal, lapor Sinar Harian.
KUANTAN ARTSTREET ANTARA TARIKAN BAHARU DI BANDARAYA KUANTAN/GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Turut dijadualkan berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Hadir sama, Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin,” katanya melalui satu kenyataan media.
Wan Rosdy berkata, Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan diadakan susulan kelulusan diberi kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019.
“Pemilihan tarikh 21 Februari ini dibuat setelah beberapa kali ditunda ekoran pelbagai faktor termasuk situasi Covid-19.
“Kali terakhir majlis seumpama ini pada 1 September 1979 atau lebih 40 tahun lalu sempena penarafan Kuantan daripada sebuah bandar kepada perbandaran,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, majlis pemasyhuran itu akan menjadi satu detik bersejarah dan kebanggaan bagi warga Kuantan dan rakyat Pahang amnya walaupun sambutannya diadakan secara sederhana.