KUALA SAT YANG UNIK
KUALA SAT YANG UNIK : PELBAGAI AKTIVITI DISEDIAKAN
Seorang Pembaca SAHIH, Yusni Mohamad Umur, 42, atau dikenali sebagai Bulat menyimpan kenangan dengan bergambar di Jeti Kuala Sat, Jerantut, Pahang.
Jeti yang berhampiran Santuari Kelah tersebut turut terdapat warung makan yang menyediakan menu masakan kampung seperti gulai asam rong siput sedut.
Uniknya, asam rong itu dibuat daripada biji getah yang gugur dan dikutip untuk diproses menjadi bahan masakan asam rong.
GULAI ASAM RONG SIPUT SEDUT ANTARA MENU MENARIK DITAWARKAN PEKAN KUALA SAT
Masakan itu bertambah menyelerakan apabila ditambah dengan siput sedut sungai.
Jeti tersebut turut menyediakan aktiviti seperti memancing, menjala, night safari , menyelusuri sungai di waktu malam dan berkhemah.
Kampung Kuala Sat, mukim Hulu Tembeling menjadi destinasi baharu menggamit pengunjung antarabangsa dan pelawat domestik mengalami eko-pelancongan berasaskan alam sekitar dan budaya tempatan.
Ini kerana ia berdekatan penempatan perkampungan Melayu Pahang di pesisir Sungai Tembeling dan hutan kekal Taman Negara berusia 130 juta tahun yang masih kaya dengan khazanah flora dan fauna yang unik berbanding di tempat lain.
Pengunjung juga akan teruja kerana dapat bermain dengan ikan seperti ikan kelah dan spesies lain yang mesra pengunjung di santuari Sungai Sat (anak Sungai Tembeling).
Ikan liar berenang di aliran sungai itu menjadi tarikan pengunjung menerusi aktiviti sungai iaitu berakit, berperahu getah, tubing dan berenang di Sungai Sat sambil menangkap ikan.
BULAT MERAKAMKAN DETIK MENARIK BERSAMA BOT DI SUNGAI TEMBELING, DEKAT PEKAN KUALA SAT
Kemudahan chalet untuk menginap juga disediakan oleh pengusaha pelancongan Sat Expeditions yang diuruskan oleh belia Kuala Sat termasuk Bulat.
Pengunjung juga dibawa melawat penempatan penduduk Orang Asli etnik Batek berdekatan kampung tersebut yang merupakan antara pakej yang diaturkan oleh pengusaha pelancongan di situ untuk mengenali adat resam dan kesenian masyarakat minoriti berkenaan.
Mana-mana pengunjung yang berminat untuk berkhemah dan berkelah terdapat sebuah kawasan juga disediakan di pinggir Sungai Sat.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Bulat di talian 011-25771562.