KU LI TIDAK SERTAI PERBAHASAN BELANJAWAN 2021
KEPUTUSAN ITU DIBUAT MELALUI SURAT DIHANTAR KEPADA SPEAKER DEWAN RAKYAT
KUALA LUMPUR: Tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun tidak membenarkan keabsahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuktikan.
Gambar Hiasan
Dia yang juga ahli Parlimen Gua Musang menyampaikan hasrat itu kepada Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November, yang antara lain mengkritik keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
“Memandangkan keabsahan kerajaan belum ditentukan, saya terikat dengan nurani dan sumpah saya dan maka tidak dapat turut serta dalam perbahasan belanjawan,” kata Ku Li dalam surat itu yang disiarkan Malaysiakini.
Dia turut memberi peringatan berkenaan rasuah politik dalam usaha membantu kerajaan untuk terus berpaut kepada kuasa.
“Untuk turut serta dalam Dewan Rakyat dalam soal belanjawan tanpa terlebih dahulu menunjukkan keabsahan perdana menteri dan menterinya, adalah untuk menjejaskan satu prinsip penting Perlembagaan yang akan membawa kesan serius kepada usaha menegakkan Perlembagaan kita, kedaulatan undang-undang dan kemungkinan amalan rasuah politik untuk mengekalkan kuasa.
“Pada pandangan saya, rasuah politik boleh disifatkan sebagai duri dalam daging yang akan memusnahkan sistem demokrasi berdasarkan perlembagaan dari dalam.
“Pandangan umum adalah rasuah politik dan wang memusnahkan jiwa negara dan sistem politik kita,” katanya.
Surat itu adalah respons kepada kenyataan Azhar bulan lalu bahawa dia tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan mendahului usul yang dibawa kerajaan.
Kenyataan itu selepas Tengku Razaleigh menghantar surat kepadanya, bertarikh 25 September, untuk menggesa Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat.
Dalam responsnya, Azhar turut mencadangkan agar Tengku Razaleigh berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan agar usul tersebut dibentangkan.
Dalam surat terbarunya, Tengku Razaleigh menyangkal cadangan itu.
“Pada pandangan saya, menteri undang-undang tiada apa-apa peranan dalam menentukan sama ada usul undi tidak percaya boleh dibentang atau tidak.
“Cadangan bahawa perkara sepenting itu tertakluk kepada persetujuan menteri tidak selari dengan Perlembagaan dan pelanggaran serius terhadap autonomi dan kebebasan Dewan Rakyat daripada sebarang bentuk kawalan eksekutif,” katanya.