KTM jadikan nostalgia ‘Old Jungle Train’ tarikan pelancongan baharu Pahang
Foto : Datuk Seri Wan Rosdy menyempurnakan simbolik perasmian program tersebut
KTM jadikan nostalgia ‘Old Jungle Train’ tarikan pelancongan baharu Pahang.
LIPIS – Laluan tren Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang menjadi nostalgia merentasi tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu dan melalui beberapa bandar cukup dikenali sebelum ini sebagai ‘Old Jungle Train’ boleh dijadikan satu produk pelancongan baharu negeri Pahang.
Laluan landasan keretapi ini yang panjang dikelilingi dengan hutan, ladang sawit dan getah serta landskap semulajadi cukup memukau pemandangan yang diingini oleh pelancong khususnya dari luar negara boleh dijadikan sebagai produk pelancongan baharu dan unik serta berbeza di negeri ini menerusi Pahang Rail Tourism 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program tersebut dilakukan dengan kerjasama Tourism Pahang; Tourism Malaysia; Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.
Katanya, laluan kereta api di negeri ini terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bermula dari Bahau, Triang, Bera, Mentakab, Jerantut dan Kuala Lipis seterusnya ke Merapoh yng kaya dengan gua semulajadi dalam zon pelancongan semula jadi.
“Kaedah menggunakan keretapi ini dapat meningkatkan bilangan pelancong untuk datang ke Pahang dan tujuan kita memberi peluang pelancong melihat lebih dekat lagi produk pelancong semulajadi yang kaya di negeri ini.
“Kalau kita tidak berusaha untuk melakukan sesuatu yang baharu untuk menarik pelancong, kita bimbang negeri-negeri lain mempunyai cara sendiri untuk promosi kehadiran pelancong yang memiliki banyak pilihan dan kita akan kerugian,” katanya di Majlis Perasmian Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen Keretapi Lipis di sini, semlam.
Datuk Seri Wan Rosdy tidak melepaskan peluang mencuba dan melihat di kokpit pemandu tren tersebut sempena program tersebut.
Katanya, berdasarkan statistik kedatangan pelancong tahun 2023, seramai 13.2 juta pelancong telah hadir ke negeri Pahang.
“Sehingga setengah tahun pertama 2024 (Jan – Jun), kira-kira 5.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara telah berkunjung ke Pahang dengan anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak RM 5.3 biilion,” katanya.
Katanya, pelancong terutamanya yang datang ke daerah Lipis, memang memiliki banyak tempat menarik dengan menggunakan kereta api yang telah diubahsuai lebih selesa, menarik dan masanya tepat selain dapat menikmati pemandangan semula jadi.
“Kita kena kuat mempromosikan produk kita, kalau kita kurang promosi dan menyediakan kemudahan yang bagus, pelancong akan beralih ke tempat lain.
“Perkhidmatan kereta api pada masa kini bukan lagi sekadar pengangkutan semata-mata tetapi ia perlu dipertingkat sebagai satu produk pelancongan yang unik dan menarik ,” katanya.
Program itu juga menawarkan 38 pakej yang ditawarkan yang melibatkan sembilan agensi pelancongan berdaftar dari seluruh Pahang.
Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi geo tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau; Gua Sisik Naga; Gua Tahi Bintang; Bandar Kuala Lipis; Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong.-SAHIH.