KURSUS PERKAHWINAN DITANGGUHKAN
Berita Nasional
TANGGUH HINGGA PENGUMUMAN TARIKH BARU
MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menangguhkan kursus praperkahwinan di negeri ini mulai hari ini berikutan peningkatan kes COVID-19.
Dalam satu kenyataan, JAIM memaklumkan, kursus dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bentara Sdn Bhd itu ditangguhkan hingga pengumuman mengenai tarikh lain dibuat.
“Berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara, khususnya di Melaka kebelakangan ini, kerajaan negeri memutuskan semua majlis, program, bengkel dan kursus anjuran kerajaan negeri ditangguhkan sebagai langkah membantu mengurangkan penularan wabak itu,” katanya.
Bagaimanapun, temuduga perkahwinan masih boleh dibuat, tetapi hanya untuk mereka yang bermastautin di Melaka dan tidak pernah menghadiri kursus seumpama itu di negeri lain dan hanya untuk mereka yang bakal bernikah antara November hingga Disember depan.
Sebelum ini, JAIM sudah menangguhkan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri dan kariah di seluruh negeri ini yang dijadualkan pada Khamis depan.
Sementara itu, sebanyak 30 kes positif COVID-19 masih dirawat di Hospital Melaka, tetapi tiada kes baharu dilaporkan semalam.
Dua kluster aktif di negeri ini pula ialah Kluster Bukit dan Kluster Umboo, manakala sekolah yang masih ditutup kekal satu, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin.
SMK Lubok Cina dan Sekolah Kebangsaan Telok Berembang yang ditutup pada 15 Oktober lalu sudah dibuka semula kelmarin.