KRT Taman Seri Putra lawat Pulau Ketam
Foto atas : Ahmad Jantan menyerahkan sumbangan kepada wakil Maahad Tahfiz Mandarin, Pulau Ketam sambil diperhatikan ahli-ahli KRT.
KRT Taman Seri Putra lawat Pulau Ketam
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-66 tahun ini (2023), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Tilapia, Taman Seri Putra, Banting menganjurkan Lawatan Integrasi ke Pulau Ketam, Selangor, baru-baru ini.
Lawatan yang disertai 25 ahli KRT Jalan Tilapia, Jalan Jelawat dan Jalan Tanjung Layang itu untuk melihat secara dekat keharmonian serta kesepakatan penduduk pelbagai kaum yang menetap sekian lama di pulau berkenaan.
Ketua rombangan lawatan berkenaan yang juga pengerusi KRT Jalan Tilapia, Ahmad Jantan, berkata selain mengeratkan ukhuwah dengan penduduk juga bagi menyantuni pelajar Maahad Tahfiz Mandarin di pulau itu.
Menurut Ahmad, hasil daripada perancangan yang dibuat beberapa bulan, ahli jawatankuasa lawatan itu berjaya mengumpul dana untuk disalurkan ke maahad tahfiz berkenaan yang sering menguar-uarkan sumbangan diperlukan untuk membantu operasi mereka.
Tambahnya, dengan lawatan ke maahad itu, ahli-ahli KRT dapat melihat serta mengenal pasti keperluan yang sangat diperlukan mereka yang mungkin dapat disalurkan kemudian nanti apabila memperoleh dana sumbangan pelbagai pihak.
“Kami juga mengambil peluang ini untuk mendekati penduduk bagi beramah mesra serta bertanya khabar mengenai pelbagai perkara terutama sejarah keharmonian mereka hidup di satu pulau,” katanya.
Ahmad berkata, lawatan itu juga digunakan sebagai persediaan untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan yang lebih agresif pada masa akan datang khususnya mengunjungi ke daerah-daerah lain di Selangor.
Tambahnya, beberapa ahli turut mencadangkan supaya kunjungan ke Pulau Ketam itu menjadi penanda aras untuk mengadakan lawatan ke luar negara bagi melihat aktiviti komuniti di sana yang mungkin boleh dicontohi.
Jelasnya, dia ambil peduli dengan cadangan berkenaan walaupun sesebuah negara yang akan dilawati nanti mungkin berbeza dari segi budaya serta agama namun kita akan melihat contoh bagaimana mereka mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat.
“Untuk dalam negara kita melihat situasi ini berlaku di Pulau Ketam apabila didiami tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang boleh bekerjasama setiap masa.
“Ini amat menepati sebagaimana disuarakan oleh Kerajaan Madani yang mahukan masyarakat saling hormat menghormati dengan mengetepikan syak wasangka serta unsur-unsur kebencian kerana boleh menghancurkan keharmonian,” katanya. – SAHIH.