KRT Kampung Sekati santuni penduduk ditimba musibah
Foto : Md Yasin (tengah) bersama-sama Ahli Jawatankuasa KRT Kampung Sekati, Manir, Kuala Terengganu menghulurkan sumbangan kepada seorang penduduk yang menghidap sakit kronik.
KRT Kampung Sekati santuni penduduk ditimba musibah
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sekati, Manir, Kuala Terengganu tidak pernah jemu turun padang bagi menyantuni penduduk yang ditimpa musibah bagi memikul tanggungjawab dan meningkatkan semangat kejiranan setempat.
Terbaharu KRT itu, dalam program ziarahnya baru-baru ini, mengunjungi lima penduduk kampung yang ditimpa musibah menghidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, strok, jangkitan kuman dalam paru-paru dan kencing manis.
Pengerusinya, Md Yasin Embong, berkata hasil maklumat yang disampaikan oleh ahli KRT dan penduduk, ahli jawatankuasa terus mencari dan mengumpul dana untuk mendapatkan keperluan yang diperlukan oleh mereka ditimpa musibah itu.
Menurutnya, KRT berasakan lima penduduk itu wajar dibantu terutama bagi meringankan bebanan mereka yang terpaksa berulang alik ke hospital atau pusat kesihatan untuk mendapatkan rawatan susulan bagi mengelak penyakit bertambah teruk.
Tambahnya, ada antara penduduk yang menghidap penyakit kronik itu pernah ditempatkan di wad hospital sebaik sahaja datang untuk mendapatkan rawatan dan discaj beberapa minggu selepasnya apabila penyakit semakin terkawal.
“Bagaimanapun mereka ini terpaksa terus mendapat rawatan susulan berjadual selain mendapatkan bekalan ubat supaya penyakit mereka itu tidak kembali bertambah buruk,” ujarnya.
Md Yasin berkata, KRT amat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka itu apabila ada sesetengahnya tidak dapat kembali bekerja atau melakukan kerja kampung seperti biasa berikutan bebanan penyakit yang ditanggung.
Jelasnya, KRT berasakan bertanggungjawab untuk membela nasib mereka itu dengan mengumpulkan dana bagi disumbangkan, walaupun tidak seberapa namun dapat menampung kos mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan berdekatan.
Tambahnya, KRT bersama ahli jawatankuasa dan biro berkenaan yang ditubuhkan sentiasa bersedia setiap masa untuk menghulurkan sumbangan barangan makanan keperluan asas yang diperlukan seperti beras, gula, tepung gandum, susu dan sebagainya jika dimaklumkan.-SAHIH.