KPWKM SASAR 1 JUTA RAKYAT TERIMA MANFAAT
PROGRAM KEMBARA PRIHATIN NEGARA BAKAL MENYEBAR LUAS PERKHIDMATAN DAN INISIATIF
ROMPIN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mensasarkan seramai 1 juta rakyat di 108 daerah di seluruh negara bakal menerima manfaat melalui Program Kembara Prihatin Negara yang berkonsepkan turun padang akan berlangsung selama setahun.
Agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKNN), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Institut Sosial Malaysia (ISM) bersama syarikat, badan bukan kerajaan (NG0) dan badan korporat serta komuniti setempat turut terlibat dalam program itu.
Program ini membantu dan menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat serta meningkatkan kerjasama strategik antara KPWKM serta agensinya.
Pasukan Program Kembara Prihatin Negara ini akan menjelajah ke lokasi yang telah dijadualkan pada setiap minggu dengan penglibatan sektor korporat dan NGO.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melancarkan program ini melalui JKM Pahang dan menyeru kepada rakan NGO, sukarelawan, komuniti setempat, syarikat dan badan korporat turut serta sebagai rakan strategik dan terlibat sama bagi menjayakan program ini.
Program berkonsepkan turun padang ini merupakan inisiatif KPWKM yang dilaksanakan oleh semua agensinya termasuk JKM di seluruh daerah di Pahang bagi menyantuni rakyat yang terkesan yang ‘Tautan Sepakat Membantu Rakyat’.
Antara aktiviti yang akan dilaksanakan adalah seperti pembukaan kaunter, perkhidmatan dan aduan pelanggan, agihan bakul makanan, menyantuni kes kebajikan termasuk ziarah prihatin, pembangunan keluarga, pemerkasaan wanita dan kajian kapasiti.
Aktiviti seperti ini turut diadakan di pasar malam, pasar pagi, pasar tani, di taman perumahan, kompleks membeli-belah, pusat komuniti setempat dan kawasan perumahan rakyat.