KPT, UPSI ziarah bantu pelajar baharu mendaftar
Foto :Hirman menyampaikan sumbangan kepada Nur Hidayatul Izzati Mohd Khamis di Kampung Banggol Raja, Kuala Terengganu.
KPT, UPSI ziarah bantu pelajar baharu mendaftar
TANJONG MALIM – Semangat dan debaran pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, yang bakal mendaftar pada 27 dan 28 September ini semakin terasa, namun kegusaran mereka sedikit terubat apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI turun padang menziarahi pelajar yang memerlukan sokongan.
Program ziarah berkenaan diadakan bagi menyampaikan Sumbangan Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa KPT di kediaman pelajar sekitar Besut, Setiu dan Kuala Terengganu dari 15 hingga 17 September lalu.
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Hirman Awang @ Semail, berkata program itu merupakan cetusan idea Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lancar.

Izzah Syahirah Abdul Hamid Albakri menerima Bantuan Pendidikan daripada Prof Norkhalid.
“Langkah ini meringankan beban keluarga pelajar berkeperluan agar mereka dapat mendaftar ke UPSI sebagaimana hasrat KPT untuk memastikan bakal siswa meneruskan pengajian dengan jayanya. Sokongan moral sebegini penting, apatah lagi kepada pelajar yang kali pertama meninggalkan keluarga,” katanya.
Antara penerima bantuan ialah Izzah Syahirah Abdul Hamid Albakri, 20, yang baharu kehilangan bapa dan ditawarkan ke program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan. Beliau menzahirkan penghargaan atas bantuan yang akan dimanfaatkan ketika mendaftar nanti.
Seorang lagi pelajar, Nurul Aleeya Maisarah, 20, yang bakal mengikuti Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan Islam), turut bersyukur atas bantuan KPT. Bapanya, Abdul Hamid Albakri Abdul Rashid, 75, meluahkan rasa gembira dan terharu atas keprihatinan UPSI menziarahi keluarga mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, berkata UPSI turut mengesan pelajar berkeperluan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak melalui inisiatif ziarah yang berlangsung dari 12 hingga 21 September ini.
Turut hadir, Ketua Timbalan Pendaftar JHEPA Maskana Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Prof. Madya Dr. Mazura@Mastura Muhammad, serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FBK Dr. Mohd Amir Mohd Zahari.-SAHIH.