KPPK BERI GERAN BANTUAN
GERAN BANTUAN TANAMAN KONTAN UNTUK PEKEBUN GETAH
KUALA NERUS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan menyediakan geran bantuan kepada pekebun getah untuk mengusahakan tanaman kontan.
Memetik laporan BH Online, Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata geran bantuan tanaman kontan disediakan dalam usaha kerajaan membantu meningkatkan pendapatan pekebun getah.
Kajian dilakukan mendapati banyak tanaman kontan boleh diusahakan pekebun getah termasuk menanam nanas.
“Jumlah bantuan geran untuk tanaman kontan akan diumumkan dalam tempoh terdekat, tetapi bergantung kepada keluasan ladang getah,” katanya selepas merasmikan pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Mohd Khairuddin berkata, kerajaan akan memberi penekanan usaha menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah pekebun kecil getah.
Selaras itu, katanya, konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan membabitkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.
“Matlamat utama ialah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran.
“Ia juga untuk memendekkan rantaian bekalan, penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak serta elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok,” katanya.
Mengenai penubuhan koperasi, Mohd Khairuddin, berkata koperasi ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran susu cair berkekalan bagi keperluan industri.
“Produk nilai tambah juga perlu dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.
“Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil hingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” katanya.