KPM NAFI LAMBAT BERTINDAK
Berita Nasional
KPM NAFI LAMBAT BERTINDAK
PUTRAJAYA: Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.
“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.
“Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.
Radzi juga berkata, kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan, namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.
“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.
Katanya lagi, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.
Sumber: BERNAMA