KPM buka 20,000 pengambilan guru baharu, kerjaya bukan untuk ‘Cuba-cuba’
KPM buka 20,000 pengambilan guru baharu, kerjaya bukan untuk ‘Cuba-cuba’
Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka pengambilan kira-kira 20,000 guru baharu disambut pelbagai reaksi masyarakat, khususnya dalam kalangan pencari kerja.
Namun, di sebalik peluang besar itu, profesion keguruan bukanlah kerjaya yang sesuai dijadikan pilihan sementara atau sekadar jalan keluar daripada pengangguran.
Pandangan segelintir masyarakat yang menganggap tugas guru mudah — masuk pagi, balik awal — jelas tidak menggambarkan realiti sebenar dunia pendidikan.
Hakikatnya, tugas guru jauh melangkaui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka berdepan murid dengan latar belakang berbeza, isu emosi, masalah keluarga serta tahap pencapaian akademik yang tidak sama, sekali gus menuntut kesabaran dan komitmen tinggi.
Waktu kerja guru juga tidak terhad kepada jam persekolahan. Selepas murid pulang, guru masih perlu menyiapkan rancangan pengajaran harian (RPH), pelaporan, pengurusan data, menghadiri mesyuarat, kursus serta menangani urusan berkaitan ibu bapa yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Selain itu, profesion ini sentiasa berada di bawah pemerhatian pelbagai pihak termasuk pentadbir sekolah, ibu bapa dan masyarakat.
Guru dituntut memiliki kematangan emosi, ketahanan mental serta keupayaan mengawal diri kerana peranan mereka sering berkembang menjadi kaunselor, orang tengah konflik, malah pengurus kebajikan murid.
Lebih penting, kerjaya guru memerlukan keikhlasan dan jiwa pendidik. Ia bukan kerja ‘autopilot’ atau bergantung kepada mood semata-mata.
Kesilapan niat dalam memilih profesion ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan masa depan murid dan keseluruhan ekosistem pendidikan.
Sehubungan itu, calon yang berminat disaran menilai niat dan kesediaan diri dengan jujur. Profesion keguruan menuntut pengorbanan besar dan komitmen jangka panjang demi membentuk generasi masa hadapan. -SAHIH.
Kredit kepada pemilik akaun FB – Asyen Kamen Jr .
