KPKT BANTU YAKEB MILIKI RUMAH SENDIRI
KPKT BANTU YAKEB MILIKI RUMAH SENDIRI
PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalin kerjasama bagi membantu bekas atlet yang layak untuk memiliki kediaman sendiri.
Menerusi kerjasama ini, ia bakal membantu melancarkan lagi proses permohonan mendapatkan kediaman dalam kalangan bekas atlet yang berdaftar dengan YAKEB membabitkan program KPKT seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
GAMBAR HIASAN
“Sebagai contoh, (projek) perumahan yang kita buat, satu peratus daripada rumah itu kita sudah agihkan untuk OKU (orang kurang upaya). Jadi sekiranya ada atlet OKU, kita akan berikan peluang dan ini saya ingat bukan satu masalah.
“Pada masa ini, projek perumahan kita di seluruh negara, bukan saja di Kuala Lumpur tetapi juga di negeri-negeri lain. Kita nak agihkan (kouta) kepada anggota badan beruniform. Jadi bekas atlet, yang daripada pendapatan rendah, inilah ruang yang ada.
“Sekiranya kita tak sediakan untuk mereka, tentunya mereka terpaksa bersaing dengan yang lain. Sekiranya berhubung dengan kita, InsyaAllah kita akan lihat (permohonan).
“Oleh itu, kita akan lihat apakah ruang yang boleh kita bantu kepada bekas atlet negara kerana mereka ini menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Ada antara mereka ini yang pernah beraksi di Olimpik dan sebagainya,” kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib kepada media selepas menerima kunjungan pemimpin YAKEB di pejabatnya, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib
Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berharap jalinan kerjasama baharu antara pihaknya dan KPKT bakal memudahkan penyelesaian terhadap masalah dihadapi ahli badan itu.
“Kita mempunyai atlet di setiap negeri, di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.
“Jadi di mana saja ada PPR, rasanya kita ada peluang untuk dapatkan rumah bagi bekas atlet yang layak mendapatkan rumah berkenaan.
“YAKEB sendiri akan membuat saringan sebelum membawa (permohonan) ke kementerian untuk dapatkan kelulusan. Itu tanggungjawab YAKEB dan di sana juga kita akan membantu atlet dan bekas atlet mahupun yang OKU, kita akan membantu mereka.
“Kita mempunyai lebih kurang 2,995 ahli dan bukan semua nak rumah. Mungkin dalam setiap negeri ada dua atau tiga saja yang nak. Jadi itu bukan satu nombor yang besar. Pada masa ini, terdapat perumahan di Lembah Subang yang ada kekosongan.
“Jadi siapa yang layak, siapa yang boleh ke sana, kita akan bawa permohonan ke kementerian perumahan untuk dapatkan kelulusan,” kata Noorul.
Untuk rekod, ini adalah antara usaha kedua yang diusulkan kepada kementerian selepas tahun lalu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan KPKT melaksanakan Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin, lapor BH Online.
GAMBAR HIASAN
Hasilnya, seramai 25 penggiat seni menerima surat tawaran menyewa unit PPR masing-masing di PPR Sri Aman Kuala Lumpur dan di PPR Lembah Subang 2.
Antara yang menerima surat tawaran berkenaan adalah Tawil, Delimawati Ismail, Halimah Alias, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin, Badrul Muhayat, Zaleha Sidek, Aizom Othman, Rusilawati Hassan dan Mahmud Ali Basha.