KPDNHEP TURUN PADANG PANTAU HARGA KOMPONEN KOMPUTER
KPDNHEP TURUN PADANG PANTAU HARGA KOMPONEN KOMPUTER
KUALA LUMPUR: Sebanyak 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 diserahkan kepada peniaga.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia bagi mengesan jika wujud sebarang elemen pencatutan.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) maklum mengenai permintaan tinggi terhadap perkakasan komputer dan langkah proaktif itu dilakukan bagi memantau sebarang kenaikan harga secara mendadak.
Katanya, peniaga diberikan tempoh dua hari untuk mengemukakan semua maklumat serta dokumen diperlukan dan kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 21(5), AKHAP 2011, dengan denda tidak melebihi RM100,000.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid
“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya, khususnya ketika negara dilanda pandemik.
“Peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan dikenakan tindakan tegas.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Pengguna juga dinasihatkan supaya menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelakkan sebarang masalah dan digalakkan untuk membanding harga serta mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli,” katanya ketika melakukan tinjauan di Plaza Lowyat, di sini, hari ini, lapor BH Online.
Pemantauan itu dilaksanakan selama dua minggu bermula 25 Januari lalu dan sehingga semalam, 130 premis sudah diperiksa yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi.
Tinjauan di Mara Digital dan Plaza Lowyat, hari ini, mendapati kebanyakan pengunjung mencari perkakasan komputer, namun hampir semua stok pada harga mampu milik tiada di pasaran.
Sementara itu, jurujual komputer, Faisal Achour, berkata hampir semua penjual perkakasan komputer kini berdepan keadaan sukar berikutan tidak mempunyai stok komputer riba yang boleh dijual kepada pengguna.
Katanya, kebanyakan stok yang ada hanyalah spesifikasi tinggi dengan harga lebih RM4,000 dan tidak mampu dibeli oleh kebanyakan pengguna sasaran.
“Kebanyakan pelanggan kami inginkan komputer riba pada harga mampu milik iaitu dengan spesifikasi rendah yang mampu menampung penggunaan pembelajaran di rumah.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Namun malangnya, stok penghantaran dihentikan sementara dari luar negara seperti China dan Eropah disebabkan kebimbangan penularan COVID-19.
“Bukan sahaja komputer riba baharu, yang terpakai pun habis dibeli kerana kebanyakannya dijual pada harga kurang RM1,000,” katanya.
Bagi pembeli, Azrinawati Mohamed, beliau turut terkesan dengan kepentingan penggunaan perkakasan komputer ini.
Katanya, seawal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, beliau sudah membeli komputer riba berikutan bertugas sebagai seorang guru.
“Saya bersyukur kerana sempat membeli pada harga berpatutan dan mudah didapati ketika itu.
“Berbanding sekarang, ia agak sukar diperoleh dan kemungkinan harganya juga jauh lebih tinggi,” katanya.