KPDNHEP KELUAR 84 NOTIS JUAL AIR KOSONG LEBIH RM1
KPDNHEP KELUAR 84 NOTIS JUAL AIR KOSONG LEBIH RM1
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 84 notis untuk menjalankan siasatan terhadap peniaga yang dikatakan menjual air kosong melebihi RM1 segelas.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata Kelantan merekodkan jumlah kes paling tinggi apabila 14 notis dikeluarkan diikuti Selangor (12), manakala Sabah, Sarawak dan Johor masing-masing sebanyak lapan notis.
Beliau berkata, Pahang turut merekodkan tujuh kes, Terengganu (6) dan hanya Kedah dan Putrajaya belum merekodkan sebarang notis dikeluarkan.

Penguat kuasa KPDNHEP Selangor mengeluarkan notis terhadap premis makanan menjual air kosong lebih RM1 setiap gelas. - Foto KPDNHEP
“Notis bertulis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana disyaki wujud unsur pencatutan ini dikeluarkan susulan Ops Catut 8.0 (air kosong) yang dilaksanakan KPDNHEP di seluruh negara.
“Operasi ini dijalankan terhadap restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung selama sembilan hari bermula 7 April lalu susulan aduan diterima mengenai harga air kosong yang mahal dikenakan peniaga, lapor BH Online.
“Penguat kuasa KPDNHEP akan meneruskan operasi ini yang masih berbaki lima hari bagi memastikan hak pengguna terjamin, manakala peniaga tidak mengaut keuntungan berlebihan.
“Sepatutnya air kosong hanya dicaj tidak lebih daripada 30 sen, tetapi ada kedai mengenakan harga melebihi RM1, jadi kita ambil tindakan melakukan siasatan,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di KTCC Mall, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.