Kos pindah gajah cecah RM50,000 seekor!
Kos pindah gajah cecah RM50,000 seekor!
JENGKA – Isu serangan gajah liar ke ladang dan kawasan Felda sekitar Wilayah Jengka semakin membimbangkan apabila haiwan itu didapati sering menceroboh hingga menyebabkan kerosakan tanaman serta kerugian besar kepada peneroka.
Menurut Pengurus Felda Wilayah Jengka, Mohd Termizi Lee, kos untuk memindahkan seekor gajah ke pusat pemuliharaan di Kuala Gandah, Lanchang boleh mencecah sehingga RM50,000 seekor.
“Anggaran ini termasuk kos untuk denai, pemantauan, serta kaedah pilihan untuk memindahkan gajah tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata, terdapat beberapa kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti sering dilalui gajah seperti Kota Gelanggi, Sungai Retang, Jengka 1 dan Padang Piol.
“Setakat ini, kami sudah mula bina parit gajah di beberapa lokasi dan sedang dalam perancangan untuk memasang pagar elektrik. Namun, kos untuk pagar elektrik agak tinggi dan Felda belum ada bajet khusus buat masa ini,” jelasnya.
Tambahnya, kaedah terbaru yang dikenali sebagai kupen iaitu menyediakan garam dan makanan khas di sempadan hutan berjaya digunakan di Padang Piol bagi menghalang gajah daripada masuk ke ladang.
“Gajah biasanya ikut laluan semula jadi mereka untuk mencari garam dan makanan. Bila kawasan itu terganggu, mereka masuk ke ladang. Kadang-kadang seekor pun boleh rosakkan beberapa ekar tanaman,” katanya.
Menurut beliau, terdapat laporan menunjukkan sekumpulan gajah berjumlah 40 hingga 50 ekor pernah menyerang secara berkumpulan di Kota Gelanggi.
Felda kini sedang berbincang dengan Jabatan Perhilitan dan berharap kerajaan dapat menyediakan bajet tambahan untuk menangani isu ini secara menyeluruh.-SAHIH