Korporasi Sekolah Menengah Orang Asli Pertama di Malaysia
Korporasi Sekolah Menengah Orang Asli Pertama di Malaysia
LIPIS – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan Korporasi SMK Betau Berhad, yang menjadi koperasi pertama diwujudkan di sekolah menengah orang asli di negara ini.
Korporasi tersebut secara rasmi didaftarkan pada 22 Disember 2023 hasil inisiatif bersama barisan pentadbir sekolah, guru-guru, kakitangan sokongan dan pelajar-pelajar asli SMK RPS Betau.
Menurut Setiausaha Korporasi, Siti Nur Effah Zurina Nur Zahar, 46, seramai lapan Ahli Lembaga Korporasi (ALK) dan tujuh pelajar asli terlibat dalam pengurusan korporasi yang mula beroperasi secara kecil-kecilan pada tahun 2024.
“Tahun 2025, kami mula membekalkan alat tulis dan keperluan asas pembelajaran kepada pelajar, selain menguruskan jualan makanan dan minuman,” katanya.
Beliau berkata, hasil jualan harian korporasi mencecah sekitar RM300 hingga RM1,000, hasil permintaan tinggi daripada pelajar yang memerlukan kemudahan perniagaan dalam kawasan sekolah kerana faktor lokasi pedalaman.
Menariknya, kebanyakan barangan dijual pada harga rendah, sejajar kemampuan pelajar dan keluarga mereka.
Malah, korporasi turut mendapat sokongan penuh daripada ANGKASA, termasuk bimbingan serta tawaran kemudahan pembelian melalui sistem BA100 yang tidak memerlukan pembayaran tunai segera.
![]()
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, menyatakan keyakinan bahawa SMK RPS Betau mampu menjadi model kepada sekolah-sekolah lain, khususnya yang melibatkan komuniti orang asli.
“Korporasi ini bukan sahaja menjual keperluan asas pelajar, malah berpotensi memasarkan produk komuniti seperti makanan tradisi, kraftangan, malah akan memperkenalkan pakej homestay dan pengalaman budaya orang asli kepada pelancong,” katanya.
Tambahnya lagi, SMK RPS Betau merupakan satu-satunya sekolah menengah orang asli yang menubuhkan korporasi, dan diyakini mampu melonjakkan pembangunan ekonomi komuniti setempat.-SAHIH
