KOREA SELATAN SAMBUNG KAWALAN PERGERAKAN
KOREA SELATAN SAMBUNG KAWALAN PERGERAKAN
SEOUL: Korea Selatan semalam mengumumkan mahu melanjutkan penguatkuasaan kawalan pergerakan dua minggu lagi sehingga berakhirnya Tahun Baharu Cina.
Pengumuman itu melenyapkan harapan sebelumnya bahawa kerajaan akan meredakan peraturan kawalan pergerakan meliputi tidak boleh memakan dalam restoran dan larangan perhimpunan lebih dari empat orang yang sudah dilaksanakan sejak awal Disember lalu.
Peraturan kawalan pergerakan itu dilanjutkan berikutan jumlah kes dalam kelompok jangkitan yang kebanyakannya dikaitkan dengan pusat keagamaan, meningkat, lapor agensi berita CNA.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDKC) melaporkan 355 kes baharu COVID-19 sehingga Sabtu lalu.
Jumlah kes baharu itu turun semula di bawah paras 400 buat kali pertama dalam masa lima hari, namun kemerosotan itu disebabkan kurangnya ujian COVID-19 yang dijalankan pada hujung minggu.
Lanjutan tempoh kawalan pergerakan itu meliputi musim cuti Tahun Baharu Cina pada 12 Februari ini.
Lazimnya ramai rakyat Korea Selatan melakukan perjalanan rentas negara semasa cuti itu.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun berkata, negaranya akan menerima 117,000 dos vaksin Pfizer, cukup untuk sekitar 60,000 orang, seawal pertengahan bulan ini menerusi skim agihan sedunia COVAX.
AstraZaneca juga akan menghantarkan vaksin ke Korea Selatan cukup untuk 300,000 orang mulai bulan ini, juga menerusi COVAX.
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada penghantaran pertama syarikat itu daripada sejumlah 1.3 juta hingga 2.19 juta vaksin yang akan dihantar bagi separuh pertama tahun ini, kata Sye-kyun. – AGENSI