KORBAN PERTAMA HARUNGI AIR DI BUKIT PUAS
KORBAN PERTAMA HARUNGI AIR DI BUKIT PUAS: SEORANG LAGI MANGSA BELUM DITEMUI
JERANTUT: Seorang lelaki berusia 58 tahun menjadi korban pertama di daerah ini dan seorang anaknya masih belum ditemui di lokasi kejadian banjir di laluan Kampung Bukit Puas, Jerantut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa, Zulkarnain Hitam, 58, ditemui lemas kira-kira jam 10.30 malam dan dipercayai dihanyutkan arus deras semasa cuba mengharungi dengan berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di Kampung Gintong bersama tiga anak lelakinya.
Katanya, seorang anaknya, Uqail Iskandar Zulkarnain berusia 23 tahun yang menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, masih belum ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira jam 11.00 malam dengan melibatkan 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat dan operasi pencarian dihentikan pada jam 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk.
“Dua orang anaknya, Umar Iskandar Zulkarnain (17 tahun) dan Usyair Iskandar Zulkarnain (13 tahun) yang turut serta terselamat selepas mengharungi bersama di laluan yang dinaiki air.
Katanya, kesemua mereka difahamkan berjalan kaki kira-kira dua kilometer dari tempat letak kereta untuk ke Kampung Gintong ,”katanya.
Beliau berharap orang ramai sila berwaspada dengan keadaan banjir bagi mengelak kejadian yang tidak diingin berlaku seperti pokok tumbang, tanah runtuh dan paras air yang naik di sekitar Sungai Pahang dan laluan yang rendah serta mematuhi arahan kerajaan berkaitan SOP Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara dan tempat tempat awam.
Sementara itu, Anak mangsa, Usyair Iskandar Zulkarnain (13) ketika ditemui berkata, semasa mereka mengharungi air terdengar abang sulungnya (Uqail Iskandar Zulkarnain) meminta tolong dalam keadaan yang begitu gelap, bapanya terus cuba menyelamatkannya.
“Selepas itu saya tidak dengar suara abang dan abah, ketika itu air begitu deras dan saya juga cuba mengharungi untuk membantu mencari tetapi tidak nampak apa-apa.
“Dalam saya cuba menyelam dan meraba dalam air tersentuh kaki abah dan terus memegang dan menariknya serta memapah ke tempat selamat,”katanya.
Katanya ketika itu, bapanya tidak sedarkan diri, manakala abangnya Umar Iskandar (17) sudah berada di tempat selamat untuk cuba mencari bantuan.
“Mujur orang kampung (Kg. Gintong) berada di lokasi kerana mereka mengesyaki selepas cuba memanggil telefon ayah berkali-kali tidak berjawab,”katanya.
Jenazah mangsa masih di Unit Forensik, Hospital Jerantut.