Koperasi pemangkin sosioekonomi komuniti
Rencana : Koperasi pemangkin sosioekonomi komuniti
Gerakan koperasi perlu terus diperkasa sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi akar umbi bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh komuniti setempat.
Peranan koperasi bukan lagi terhad kepada aktiviti berskala kecil, sebaliknya perlu dilonjakkan kepada projek berimpak tinggi yang mampu menjana pendapatan mampan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing ekonomi tempatan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail berkata, penglibatan koperasi dalam projek ekonomi berskala lebih besar akan membantu memperkukuh kedudukan koperasi sebagai instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi rakyat.

Naib Presiden ANGKASA,
Datuk Kamarudin Ismail
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja memberi pulangan kepada koperasi, malah memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta pemerkasaan keusahawanan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek SejaTi MADANI Ternakan Ikan Talapia Dalam Sangkar di Pejabat Koperasi Kampung Paloh Kuala Terengganu Berhad, di sini, semalam.
Katanya, projek ternakan ikan dalam sangkar itu membolehkan koperasi menjana pendapatan secara berterusan melalui jualan hasil ternakan kepada komuniti setempat dengan kualiti terbaik serta harga yang berpatutan.
Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata projek berkenaan turut mencerminkan komitmen ANGKASA dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi komuniti melalui pendekatan koperasi dan keusahawanan berteraskan sektor agromakanan.

Projek SejaTi MADANI ternakan ikan talapia dalam sangkar yang terletak di Kampung Pasir Tebakang, Manir itu merupakan hasil kerjasama Koperasi Kampung Paloh Kuala Terengganu Berhad, selaras dengan aspirasi inisiatif SejaTi MADANI yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif dan mampan.
SejaTi MADANI diperkenalkan sekitar 2024 sebagai inisiatif Kerajaan MADANI bagi memperkasa ekonomi komuniti, khususnya di peringkat kampung dan koperasi, dengan menyediakan dana bantuan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap projek ekonomi tempatan.
Dana itu bertujuan meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan rakyat, dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, ANGKASA memainkan peranan penting dalam pelaksanaan serta pemantauan projek-projek di bawah inisiatif tersebut.
Sehingga kini, ANGKASA menerima peruntukan bagi melaksanakan 20 projek koperasi bernilai RM2 juta dengan tahap siap mencecah 80 peratus pada 2025, selain mengemukakan permohonan tambahan RM10 juta bagi melaksanakan 100 projek baharu di seluruh negara.
Pelaksanaan projek itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Koperasi Veteran Tentera, INSKEN, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kampung Paloh Kuala Terengganu Berhad, Haji Wan Zakaria Md Nor berkata, sokongan kerajaan dan ANGKASA memberi keyakinan kepada koperasi untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti.
5040491419698413181.jpg)
Menurutnya, pelaksanaan Projek SejaTi MADANI itu diharap dapat menjadi model kepada koperasi lain dalam membangunkan projek ekonomi berdaya maju serta berimpak tinggi.-SAHIH
