Koperasi KGMMB sasar untung RM5 juta dengan anggota 30,000 orang menjelang 2024
Koperasi KGMMB sasar untung RM5 juta dengan anggota 30,000 orang menjelang 2024
KOPERASI Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KOPKGMMB) mensasarkan keuntungan bersih RM5 juta menjelang tahun 2024 dan meningkatkan bilangan keanggotaan koperasi kepada 30,000 orang.
Pengerusi KOPKGMMB, Ibrahim Marlan berkata, sasaran itu sebagai penentuan indeks prestasi ahli lembaga koperasi (ALK) KOPKGMMB menjelang tahun tersebut.
Katanya, koperasi mensasarkan keahlian kesatuan dalam kalangan guru muda serta guru yang belum menyertai mana-mana kesatuan guru dan koperasi.
“Bilangan ahli Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ketika ini seramai 60,000, manakala anggota koperasi seramai 18,000 orang.
“Oleh itu, koperasi cuba menarik ahli kesatuan KGMMB yang belum menyertai sebagai anggota koperasi sebagai sasaran utama,”katanya ketika dihubungi.
Katanya, KOPKGMMB juga meningkatkan pinjaman pembayaran khas patuh syariah daripada RM10,000 ke RM20,000 kepada anggota tanpa faedah dan anggota hanya membayar wang proses dan insuran pinjaman dan tempoh pinjaman antara setahun ke 10 tahun dengan kelulusan segera.
“ Koperasi juga memberi pinjaman peribadi serta turut memberi pinjaman untuk membeli insuran kenderaan sehingga RM5,000.
“Selain itu, mengadakan persefahaman perniagaan dengan syarikat lain bagi kemudahan anggota dan juga memiliki hartanah,” katanya.
Ibrahim berkata, koperasi juga memiliki hotel di Melaka dan sekarang mula beroperasi dengan baik sejak ditutup kira-kira dua tahun akibat serangan Covid-19.
“Sebuah pusat hemodialisis Koperasi KGMMB akan beroperasi di Terengganu dengan peralatan bernilai kira-kira RM500,000 dan hanya menunggu kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“KopKGMMB yang ditubuhkan pada tahun 1974, memiliki aset berjumlah RM80 juta, koperasi telah berjaya memperolehi pendapatan pada 31 Disember 2020 sebanyak RM3,637,826 dengan keuntungan berjumlah RM 1,824,380,” katanya.-SAHIH.