KOPERASI KARIAH MASJID PERLU MANFAAT PRODUK HALAL DI PERINGKAT GLOBAL
SEREMBAN: Koperasi Kariah Masjid (KKM) perlu merebut dan memanfaatkan peluang dalam pasaran industri produk halal sebagai produk utama yang dirancang untuk dikembangkan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Selain itu, dua produk lain yang bakal dikembangkan juga ialah koperasi sekolah dan kewangan Islam menerusi ACO Bank.
Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha ANGKASA ini adalah bertujuan untuk memastikan produk halal koperasi terus berkembang di persada global memandangkan industri halal di Malaysia mempunyai ekosistem halal yang berdaya maju.
Beliau yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), berharap industri halal di negara ini mempunyai daya saing yang bagus dengan sasaran nilai eksport halal sebanyak AS$100 bilion (RM417 bilion) menjelang tahun 2030.
“Pembangunan perniagaan KKM menjadi perhatian utama ANGKASA pada masa ini kerana kewujudan institusi ibadat yang dapat digemblengkan secara lebih berkesan dalam membantu komuniti setempat.
“ANGKASA adalah milik bersama dan komited dalam menyediakan saluran dan platform terbaik kepada anggota serta komuniti yang boleh dicapai dengan kerjasama semua pemegang taruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2021 Negeri Sembilan yang diadakan secara maya selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19, hari ini.
“Ia bersesuaian dengan misi ANGKASA dalam mempelopori dan memperkasa jaringan serta rantaian nilai sektor ekonomi koperasi ke arah mencorakkan landskap ekonomi koperasi selaras dengan perkembangan inovasi dan teknologi,” katanya.
Seramai 202 perwakilan telah hadir ke mesyuarat berkenaan yang berlangsung mengikut Garis Panduan Pengurusan Mesyuarat Agung Koperasi Semasa Penularan Pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Hadir sama ke mesyuarat ialah Penolong Pengarah Wilayah Negeri Sembilan SKM, Mohd Shafiq Mohammad Jaapar; Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi SKM, Ropidah Ismail dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKM), Roziah Mohamed.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Negeri Sembilan, Datuk Ibrahim Abdullah, berkata sebanyak 40 program telah dilaksanakan sepanjang Januari hingga September 2021 secara fizikal dan maya dalam usaha memberi pendedahan ilmu dan maklumat kepada koperasi menjalankan kegiatan dengan kerjasama ANGKASA Pusat dan SKM Negeri Sembilan serta IKM Zon Selatan.
Katanya, dengan jumlah keanggotaan seramai 563 buah koperasi, ANGKASA Negeri Sembilan terus giat memperkasakan gerakan koperasi negeri dengan memfokuskan kepada sektor pemborongan dan eruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian dan industri asas tani; Perladangan dan usaha-usaha pembangunan wanita dan komuniti.
“ANGKASA Negeri Sembilan dengan kerjasama ANGKASA Pusat bekerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sosial koperasi (CSR) menerusi Program COOPCARE ANGKASA Prihatin Covid-19 kepada anggota koperasi dan masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya.-SAHIH.