KONTRAKTOR LESAP RM107,000
MANGSA PENIPUAN MACAU SCAM
BATU GAJAH: Seorang kontraktor kerugian lebih RM107,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan pegawai polis, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa berumur 45 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mr Lai’, kononnya pegawai Bank Negara menerusi nombor 03-94165679, ketika berada di rumah di Kampung Baharu Chenderoh, di sini.
Menurut Ahmad Adnan, lelaki itu memberitahu mangsa bahawa terdapat transaksi pembelian barangan di sebuah platform beli-belah dalam talian yang menggunakan kad kredit Ambank atas namanya berjumlah RM11,188.35, namun dinafikan mangsa.
“Selepas itu, panggilan disambungkan konon kepada bahagian penggubahan wang haram di Bukit Aman dan mangsa bercakap dengan seorang wanita bernama Than Kok Hwa yang memberitahu akaun, kad kreditnya telah disalah guna dan dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Mangsa memberitahu dia mempunyai dua akaun iaitu akaun Ambank dan akaun Hong Leong Bank sebelum diarah untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kedua-dua bank,” katanya dipetik dari Bernama.
Ahmad Adnan berkata, pengadu telah pergi ke ATM dan apabila selesai mengikuti arahan wanita itu, mangsa mendapati wang daripada akaun Hong Leong Bank dan Ambank telah berkurangan sebanyak RM107,996.95.
Katanya pengadu kemudian berasa tertipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah pada pukul 6.15 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.