Kontraktor diberi masa tiga minggu siapkan jambatan Bukit Gajah
Kontraktor diberi masa tiga minggu siapkan jambatan Bukit Gajah
BENTONG – Sepatutnya jambatan menghubung kampung Bukit Gajah, dekat Pelangai sudah siap dibina.
Namun atas beberapa masalah, ia tertangguh dan menyukarkan urusan harian penduduk di situ.
Sementara menunggu projek jambatan siap, satu laluan alternatif dibina oleh pihak kontraktor dengan kerjasama penduduk.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila laluan itu mengalami kerosakan ‘luar jangka’ susulan hujan lebat semalam.
Sebaik menerima aduan mengenai masalah berkenaan, ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam tidak menunggu lama dan terus meninjau permasalahan itu petang tadi.
“Saya mengambil maklum dari satu ‘posting’ yang dibuat mengenai satu ‘kejadian aneh’ di jambatan yang sepatutnya sudah siap dibina di Kampung Bukit Gajah.
“Sementara menunggu jambatan ini siap, satu jalan alternatif sementara telah dibina kerana laluan ini sering digunakan penduduk kampung ke kawasan tanah perkuburan.
“Tapi satu ‘kejadian aneh’ yang berlaku – jalan tersebut telah runtuh akibat hujan lebat.
“Tiada ‘basa-basi’ daripada saya, saya beri tempoh 21 hari mulai sekarang (hari ini) untuk jambatan ini siap dibina mengikut kriteria dan spesifikasi ditetapkan,” kata Amizar melalui satu perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.
Dia yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang menegaskan keperluan dan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya akan pantau rapat projek ini.
“Terima kasih kepada pihak kontraktor dan pihak terlibat di atas kerjasama diberikan,” ujarnya lagi.– SAHIH